Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raih keredaan di bulan Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi, Ak Zaki Kasharan & Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Dalam meningkatkan amal ibadat dan meraih keredaan Allah SWT lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia dengan pahala yang berlipat ganda, majlis-majlis khatam dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim terus giat diadakan.

    Antara yang mengadakan majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim, hari ini, ialah Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong di mana seramai 33 orang anak yatim dari Kampung Jerudong menerima sumbangan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

    Acara berkenaan juga diselajurkan dengan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan bagi ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.

    Sementara itu, baru-baru ini, Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Serdang pula mengadakan Majlis Khatam AI-Quran dan Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim serta Fakir Miskin diikuti Majlis Tahlil dan Doa Arwah di masjid berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sumbangan kepada para penerima ialah Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.

    Program tadarus yang dikendalikan telah disertai oleh seramai 48 orang yang terdiri daripada ahli jawatankuasa dan para jemaah, manakala itu lapan orang anak yatim dan 16 orang fakir di miskin sekitar kampung berkenaan menerima sumbangan.

    Manakala itu, ahli-ahli Serumpun Warga Simpang 85 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau, Mentiri turut tidak ketinggalan mengadakan Majlis
    Khatam Al-Quran, Bacaan Tahlil dan Bersungkai bersempena memperingati Sambutan Nuzul Al-Quran 1442 Hijrah di salah sebuah kediaman ahlinya di RPN tersebut, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang julung kalinya diadakan oleh ahli-ahli berkenaan ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Ibrahim yang juga selaku ketua Kampung Sungai Buloh.

    Haji Mohammad Rosli semasa hadir pada majlis berkenaan di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, kelmarin.
    Antara yang hadir pada Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan oleh Serumpun Warga Simpang 85 RPN Kampung Panchor Mengkubau, Mentiri, baru-baru ini.
    Awang Abdul Aziz hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Serdang.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda