Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raih manfaat kesihatan daripada buah kurma

    Oleh Nurdiyanah R.

    Rukun Islam ketiga, berpuasa di bulan Ramadan sememangnya mengajar kita untuk mengawal nafsu dan mendisiplinkan hati serta jiwa.

    Tidak berlebihan ketika berbuka puasa bukan sahaja untuk mengelakkan pembaziran, tetapi juga untuk menjaga kesihatan badan agar sentiasa bertenaga dan mendapat nutrien yang secukupnya.

    Oleh yang demikian alangkah indahnya lagi bulan penuh kerahmatan ini jika kita mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW, salah satunya ialah berbuka puasa sedikit dengan kurma dan minum air dahulu sebelum menunaikan solat Maghrib, kemudian sambung makan selepas itu. Namun apabila makanan telah dihidangkan di hadapan kita, makanlah dahulu supaya kita dapat solat dengan lebih khusyuk. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

    “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat dan jangan kamu tergopah-gapah ketika makan malam kamu.”

    Istimewanya Buah Sunnah Memiliki Khasiat

    Kurma adalah sejenis tumbuhan (palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang masih mentah.

    Air rendaman buah kurma yang dikenali sebagai Air Nabeez yang sememangnya memiliki pelbagai khasiat untuk kesihatan lebih-lebih lagi ketika diminum waktu bersahur. – Gambar hiasan
    Kurma jenis Safawi yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi, sebagai kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan.
    Kurma adalah sejenis tumbuhan (palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang masih mentah yang mana terdapat terdapat pelbagai jenis pokok kurma penuh khasiat antaranya Kurma Ajwa, Kurma Medjool atau Majdoul, Safawy, Kurma Rutob atau Muda, Kurma Sukkary dan sebagainya. – Gambar hiasan

    Terdapat pelbagai jenis pokok kurma dan kebanyakannya tumbuh subur di negara-negara Arab.

    Antaranya ialah Kurma Ajwa, Kurma Medjool atau Majdoul, Kurma Safawy, Kurma Deglet Nour atau Kurma bertangkai, Kurma Muda atau Rutob, Kurma Mabroom dan Kurma Sukkary.

    Buah kurma yang dikenali sebagai pembuka juadah dalam bulan Ramadan ini mempunyai banyak manfaat untuk tubuh kerana kaya dengan zat-zat penting dan memberikan pelbagai kebaikan dan mencegah penyakit daripada tubuh kita.

    Kandungan zat besi yang ada di dalam buah kurma pastinya akan menggantikan zat besi yang hilang di tubuh badan.

    Selain itu manfaat kurma untuk tubuh lainnya adalah menghilangkan rasa letih dan lesu serta menjadikan tubuh badan segar dan bertenaga.

    Buah kurma juga mampu memelihara dan meningkatkan kesihatan jantung. Kurma mengandungi vitamin yang banyak dan mineral yang baik untuk jantung.

    Selain zat besi, buah kurma juga mengandungi magnesium yang boleh membantu untuk mengurangkan tekanan darah. Buah yang kecil ini juga mengurangkan kadar kolesterol jahat di dalam tubuh. Manfaat buah kurma bagi tubuh lainnya adalah memperbaiki sel-sel yang rosak.

    Ia juga baik untuk memelihara dan merawat kulit anda. Kurma juga memiliki kandungan panthothenic yang termasuk dalam kelompok vitamin B. Panthothenic ini berfungsi mencegah kerosakan kulit secara efektif.

    Selain itu, kandungan vitamin C pada kurma boleh mengatasi dua masalah kulit dan mengelak daripada penuaan secara cepat.

    Kurma juga bermanfaat untuk mengatasi masalah pencernaan. Kandungan serat dalam kurma yang cukup tinggi dapat membantu memenuhi serat dalam sehari-hari. Dengan memakan dua biji kurma setiap hari akan melancarkan pencernaan dan menjaga kesihatan sistem pencernaan. Kurma ini juga mengatasi sembelit, cirit-birit bahkan mengurangi risiko kanser usus.

    Bukan hanya buahnya saja, manfaat biji kurma juga sangat baik untuk mengatasi rambut gugur.

    Khasiat biji kurma yang ini sudah lama diketahui dengan hanya perlu mencampurkan biji kurma yang sudah dibersihkan bersama minyak zaitun.

    Selepas itu sapukan dan ratakan pada kepala anda sebelum tidur. Kurma juga mengandungi antioksidan yang melindungi anda daripada radikal bebas dan mempertahankan imun tubuh.

    Kebaikan Air Rendaman Kurma

    Khasiat buah kurma bukan setakat itu sahaja malah air dari rendaman kurma yang dikenali sebagai air Nabeez juga memiliki kebaikan yang begitu istimewa jika kita mengamalkannya lebih-lebih semasa bersahur mahu pun berbuka.

    Caranya adalah dengan merendam buah kurma dalam bilangan yang ganjil seperti 3, 5 atau 7 biji dalam air masak dalam 500 mililiter hingga 1 liter pada sebelah malam. Kemudian bolehlah diminum pada waktu sahur pada keesokan harinya.

    Manakala antara kebaikannya ialah dapat menyingkirkan toksin dari dalam badan dan meningkatkan tenaga ketika berpuasa pada siang hari serta membantu proses pencernaan. Begitu juga ia dapat meningkatkan dan menajamkan fikiran.

    Kurma Kurnia Peribadi Pemimpin Berdaulat

    Kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT, sebelum menjelang bulan Ramadan, sudah menjadi tradisi rakyat dan penduduk di negara ini khususnya yang beragama Islam akan menerima buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada setiap tahun.

    Ini bermakna setiap umat Islam yang menetap di negara ini tanpa mengira had umur dan taraf kerakyatan akan menerima kurnia buah kurma di mana setiap seorang akan menerima satu kotak kecil kurma seberat 300 gram.

    Pada tahun ini, sejumlah 158.4 tan metrik buah kurma jenis Safawy yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi diagih-agihkan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di seluruh negara secara berperingkat bagi mengelakkan daripada perkumpulan ramai dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.

    Pengurniaan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu adalah sebagai amal jariah dan kasih sayang Baginda serta kerabat diraja kepada seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam yang dihasratkan untuk juadah berbuka puasa di bulan Ramadan.

    Pengurniaan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh penduduk di negara ini mencerminkan sikap pemedulian dan keprihatinan Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda