Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Nostalgia Anak Kampung 60-an Kampung Kilanas telah menganjurkan majlis makan haul bagi meraih pahala di bulan Syaaban di Dewan Ar-Rahmah Kompleks Mim NunJaya Jalan Bebatik, Kampung Kilanas.
Seramai 200 orang penduduk Kampung Kilanas telah hadir termasuk ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di mukim Kilanas.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Dalam ucapan tetamu kehormat, Yang Berhormat Pehin telah mengucapkan syabas kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan aktiviti berkebajikan tersebut dan berharap untuk sama-sama berganding bahu bersama Majlis Perundingan Kampung Kilanas dalam apa juga aktiviti yang bermanfaat bukan sahaja untuk memajukan kampung, malah akan juga memberi manfaat kepada penduduknya.
Majlis diisikan dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan bacaan doa arwah yang diketuai oleh Awang Aliudin @ Sulai bin Haji Tuah.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma bagi tabung masjid dan tabung anak-anak yatim bagi ketiga buah masjid iaitu Masjid Kampung Kilanas, Masjid Jubli Perak Kampung Jangsak, dan Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Jalan Bebatik Kilanas. Sumbangan derma ini adalah sumbangan daripada anak-anak kampung Nostalgia 60-an Kampung Kilanas yang menyertai majlis ini. Penyampaian sumbangan telah ini disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis kepada imam-imam masjid berkenaan.

