Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH) dengan kerjasama Perbadanan TAIB dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) mengambil bahagian dalam Pesta Pengguna ke-25 dengan mempamerkan pelbagai produk kewangan di Dewan 2, Bridex.
Pesta Pengguna yang bermula kelmarin itu memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati promosi dan barangan jualan apabila mereka mengambil bahagian dalam produk Takaful seperti Takaful Pemilik Motor dan Rumah dari Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd (IITGT) dan Pelan Simpanan Persaraan Ar-Rizq dan Khairat Takaful dari Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd (IITFT).
Selain itu, IITH turut memperkenalkan Kempen Mau Hadiah Lagi 2021 yang akan menyaksikan empat buah kereta baharu bakal diberikan kepada empat pemenang bertuah apabila mereka mengambil bahagian dalam produk Insurans Islam TAIB terpilih.
Sementara itu, ‘Kad Setia’ oleh IIT juga dipamerkan sebagai program kesetiaan pertama dalam industri ini di mana peserta IIT yang ada sekarang boleh mendaftar untuk menikmati potongan harga di beberapa vendor dalam kategori gaya hidup, makanan dan membeli-belah.
Hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, Timbalan Pengarah Urusan Perbadanan TAIB Haji Osman bin Haji Mohd Jair; Pengarah Urusan IITH, Hajah Nornaimah binti Haji Zainip dan Pengarah Urusan DHSB, Haji Mahmud bin Haji Mohamed.
Untuk menyertai dan mengetahui lebih lanjut mengenai produk atau promosi IIT Takaful, orang ramai boleh mengunjungi Pesta Pengguna ke-25.
Orang ramai juga boleh menghubungi IITGT atau ITFT untuk maklumat lebih lanjut.
