Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raih sumber rezeki di bulan Ramadan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Bulan Ramadan bukan sahaja menjanjikan pahala yang berlipat ganda bagi setiap amal ibadat yang dilakukan bahkan membuka pintu rezeki seluas-luasnya kepada mereka yang ingin mencari rezeki khususnya bagi peniaga dan penjaja.

    Seperti lazimnya setiap bulan Ramadan, gerai-gerai jualan tumbuh bagaikan cendawan di sana sini selain gerai-gerai khas yang disediakan oleh pihak berkuasa dengan yang paling terkenal di Daerah Brunei dan Muara ialah gerai Ramadan di kawasan letak kereta di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan kawasan letak kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja di ibu negara.

    Tinjauan media di gerai jualan Pekan Muara, hari ini, rata-rata peniaga yang ditemui berkata, dengan kedatangan bulan Ramadan ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan bagi kedatangan bulan Syawal.

    Pemilik Mr Pocoyo Cafe & Catering, Haji Esa bin Kula juga tidak melepaskan peluang menyertai gerai Ramadan untuk pertama kalinya di gerai ramadan Pekan Muara.

    Beliau semasa ditemui menjelaskan, kedatangan bulan Ramadan ini juga ia memberikan semangat untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam perniagaan meskipun perniagaan yang dijalankan itu hanya secara kecil-kecilan.

    “Apa yang menarik pada bulan Ramadan ini, golongan belia turut sama tidak melepaskan peluang berjinak-jinak untuk berniaga di gerai-gerai Ramadan di mana kebanyakan mereka ini memulakan perniagaan pada bulan Ramadan untuk menambah sumber pendapatan bagi perbelanjaan menjelang lebaran nanti,” jelasnya.

    Katanya lagi, gerai Ramadan menjadi pilihan utama pengunjung kerana terdapat banyak pilihan sekali gus memberi kepuasan kepada pembeli di mana pada bulan Ramadan ini juga, kuih-muih yang jarang dilihat akan dijual di bulan Ramadan.

    Beliau seterusnya menambah, walaupun bulan Ramadan ini memberikan peluang kepada para peniaga untuk meningkatkan pendapatan namun tidak boleh sama sekali mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan atau pun barang yang dijual kerana dalam perniagaan ini kita seharusnya bersikap jujur dan amanah.

    “Dalam mencari rezeki pada bulan Ramadan ini, tahap kebersihan dalam pengendalian makanan juga adalah sangat penting untuk diambil perhatian oleh peniaga dan penjaja gerai,” tambahnya.

    Antara juadah berbuka yang dijual di salah sebuah petak gerai Ramadan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda