Oleh Daniel Lim
BELAIT, 14 APRIL – Buat julung kalinya, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut 2 menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan aktiviti glamping, di Taman Rekreasi Pantai Lumut pada 11 April.
Acara tiga hari itu menyaksikan penyertaan penduduk Kampung Lumut 2 yang bersama-sama mendirikan khemah sambil menyertai pelbagai aktiviti santai dan hiburan keluarga dalam suasana penuh kemeriahan.
Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad hadir merasmikan acara tersebut pada hari kedua iaitu 12 April, diiringi oleh Penghulu dan Ketua Kampung dari seluruh Daerah Belait.
Ketibaan mereka disambut oleh Ketua Kampung Lumut 2, Haji Khairdon bin Haji Dahlan, yang menjelaskan bahawa acara itu merupakan inisiatif pertama seumpamanya dianjurkan oleh MPK Lumut 2 dalam usaha menggabungkan sambutan Aidilfitri dengan konsep glamping yang semakin popular.
“Acara ini mewakili acara selama tiga hari yang bermula 11 April di mana kami mendirikan perkhemahan di taman dan mengadakan beberapa siri aktiviti perayaan yang menyeronokkan sepanjang hari,” katanya.
Aktiviti yang diadakan termasuk pesta barbeku dan perkhemahan terbuka di mana peserta melawat kem jiran mereka untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, serta pelbagai permainan keluarga yang melibatkan semua peringkat umur.
Majlis perasmian semalam turut diserikan dengan persembahan pentas bercorak hiburan dan perayaan yang memeriahkan lagi suasana sambutan.
Pemangku Pegawai Daerah Belait dan tetamu turut diberi peluang melawat kawasan perkhemahan dan beramah mesra bersama para peserta sambil menyampaikan ucapan Aidilfitri.
Acara glamping itu diteruskan kelmarin dengan harapan ia bukan sahaja menceriakan suasana Hari Raya, tetapi juga dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran program serupa pada masa akan datang, di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama peserta perkhemahan.
