Wednesday, September 18, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raikan keindahan Brunei melalui lensa

    Oleh Rokiah Mahmud

    BANDAR SERI BEGAWAN,  12 SEPT – Peraduan Fotografi Buletin Borneo telah menawarkan platform kepada jurugambar berbakat untuk merakam dan mempamerkan intipati menawan yang terkandung dalam negara melalui lensa kamera dan daya kreativiti mereka.

    Perkara tersebut dijelaskan oleh Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Anafiah Omar semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah Peraduan Fotografi Buletin Borneo yang diadakan di Hotel Radisson hari ini.

    ana

    Peraduan berkenaan menampilkan pelbagai kategori, termasuk Rakyat, Makanan & Budaya, Mercu Tanda & Hidupan Liar, Perkahwinan Diraja, Hari Kebangsaan Brunei ke-40, serta Kecergasan, Sukan & Gaya Hidup.

    Anafiah menekankan bahawa pemenang dinilai daripada segi keaslian, kecemerlangan teknikal, kreativiti, kualiti fotografi dan keupayaan mereka untuk menyampaikan keindahan dan perwatakan Negara Brunei Darussalam yang tersendiri.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

    Peraduan berkenaan telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 1,000 penyertaan yang dihantar dalam talian dan juga salinan cetak. Gambar-gambar yang telah menang dinilai berdasarkan kualiti fotografi, kreativiti dan keberkesanan dalam menonjolkan keunikan Brunei, dengan penilaian daripada wakil-wakil syarikat penaja peraduan dan juga Brunei Press.

    Bagi kategori Mercu Tanda & Hidupan Liar, Raul Padernal membawa pulang hadiah tempat pertama, manakala Aina Azyyati binti Mohamad Rezal memenangi kategori Kecergasan, Sukan & Gaya Hidup. Kategori Hari Kebangsaan ke-40 pula dimenangi oleh Law Hieng Hing.

    Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari menyampaikan hadiah pertama kepada pemenang dalam kategori Mercu Tanda & Hidupan Liar.
    Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari menyampaikan hadiah pertama kepada pemenang kategori Hari Kebangsaan ke-40.

    Sementara itu, Yusri Omar muncul juara dalam kategori Perkahwinan Diraja sementara Haji Kahan bin Haji Nasir mendapat tempat pertama dalam kategori Rakyat, Makanan & Budaya.

    Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari menyampaikan hadiah pertama kepada pemenang kategori Rakyat, Makanan & Kebudayaan.
    Gambar ramai para pemenang bersama tetamu kehormat, wakil penganjur dan penaja serta antara yang hadir.

    Pemenang peraduan menerima pelbagai hadiah menarik termasuk kamera digital Canon EOS 1500D, akaun simpanan Bank Baiduri, basikal BMW M, baucar dan peralatan AIFA, pakej penginapan di Hotel Radisson, baucar Supa Save serta barangan dan baucar dari Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL).

    Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, bersama Anafiah Omar dan Suzie Houng melihat pameran yang disediakan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda