BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Makmal bioperubatan memainkan peranan penting dalam sistem penjagaan kesihatan, berfungsi sebagai penjaga kualiti dan keselamatan pesakit.
Sehubungan itu, bagi mengiktiraf peranan pentingnya itu, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah meraikan Hari Sains Makmal Bioperubatan Antara-bangsa 2024 dalam acara istimewa, hari ini.
Tema sambutan tahun ini ialah Penjaga Kualiti dan Keselamatan Pesakit: Sains-saintis Makmal Bioperubatan yang menekankan kepentingan makmal bioperubatan.
Majlis diserikan dengan kehadiran Menteri Kesihatan dan Pengarah Eksekutif JPMC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar selaku tetamu kehormat.
Turut hadir ialah wakil-wakil dari Kementerian Kesihatan, Pantai Jerudong Specialist Centre dan Gleneagles JPMC, pengurusan kanan dan ketua-ketua jabatan JPMC.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan alu-aluan oleh Perunding Mikrobiologi merangkap Pengurus Makmal, Dr Haji Mohamad bin Haji Kassim, diikuti dengan ucapan perasmian Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham.
Saintis makmal bioperubatan memainkan peranan penting dalam diagnosis, pembangunan dan jaminan kualiti, rawatan, penyelidikan dan pembangunan dalam sains perubatan moden.
Sepanjang tahun, Jabatan Makmal JPMC telah cemerlang dalam kepakaran mereka, mengesahkan akreditasi ISO 15189 pertama pada 2017 dan mengekalkan akreditasi pada 2021, seterusnya menekankan komitmen mereka untuk menyediakan perkhidmatan terbaik di negara ini.
Selain itu, Makmal JPMC mengambil bahagian dalam program Ujian Kecekapan/Penilaian Kualiti Luar dengan Kolej Pakar Patologi Amerika (CAP), Program Jaminan Kualiti Kolej Patologi Diraja Australasia (RCPAQAP) dan Skim Penilaian Kualiti Antarabangsa Randox (RIQAS).
Acara diteruskan dengan lawatan pameran yang disediakan oleh bahagian berlainan Jabatan Makmal JPMC, membentangkan peranan dan proses mereka di jabatan dan diakhiri dengan lawatan ke Jabatan Makmal.