Oleh Daniel Lim
BELAIT, 1 SEPT – Persatuan Hainan Kuala Belait memperingati satu peristiwa penting, kelmarin apabila menyambut ulang tahun ke-80 bersama 600 hadirin di Grand Ballroom, Pusat Insani, Seria.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.
Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Ber-hormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib bersama isteri; ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Ong Tiong Oh; Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Daerah Belait, Loo Soon Nin dan ahli-ahli komuniti Hainan dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Pengerusi persatuan, Raymond Hong dalam ucapannya amat menghargai kerja keras dan pengorbanan yang dibuat sejak persatuan itu mula ditubuhkan pada tahun 1939 hingga ke hari ini.
Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa persatuan menyediakan dana kebajikan tahunan bagi mereka yang telah mencapai umur 60 tahun serta pingat emas bagi mereka yang mencapai usia 80 tahun untuk memperingati komitmen dan bakti yang telah mereka taburkan dalam persatuan dan kepada masyarakat amnya.

PYT Yu Hong dalam ucapannya pula memuji persa-tuan kerana amat mengambil berat mengenai hal ehwal komuniti Hainan di negara ini dan beliau berharap agar semangat prihatin itu berterusan dan memberi manfaat kepada generasi masa depan.
Pada majlis itu, pengerusi persatuan bersama ahli jawatankuasa juga menyerahkan pingat emas dan sampul merah kepada ahlinya yang sudah mencapai usia emas bagi menghargai dan meraikan komitmen dalam persatuan sebelum
ini.
Bagi menandakan peristiwa penting bagi Persatuan Hainan Kuala Belait itu, tetamu jemputan dan ahli-ahli jawatankuasa persatuan memotong kek dengan iringan lagu Selamat Hari Jadi.
Selain itu, para tetamu undangan turut menerima plak peringatan sebagai tanda penghargaan atas kehadiran mereka sempena pencapaian penting persatuan pada malam itu.
Bagi memeriahkan lagi sambutan, beberapa ahli persatuan turut mempersembahkan beberapa lagu Hainan serta pertunjukan budaya tradisional dan moden.