Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Pasukan Rainbow muncul johan dalam Kejohanan Bola Sepak 11 Orang Sepasukan selepas menewaskan pasukan Seri Wira dalam perlawanan peringkat akhir semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat di kejohanan anjuran Pertubuhan Bola Sepak Daerah Brunei dan Muara itu ialah Yang Di-Pertua Pertubuhan Bola Sepak Daerah Brunei dan Muara, Haji Juned bin Ramli.
Dalam perlawanan akhir itu, Seri Wira terpaksa akur bergelar naib juara selepas gagal mengekang serangan pasukan Rainbow apabila tewas 5-1.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada pasukan Rainbow (juara), Seri Wira (naib juara) dan pasukan AKSE Bersatu (pemenang ketiga) sementara empat orang pengadil perlawanan turut menerima hadiah cenderahati. Acara diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.