Mencipta sejarah sebagai penyanyi solo wanita pertama Indonesia yang mengadakan konsert di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia, tidak pernah membuatkan Raisa meninggi diri.
Wanita kelahiran Jakarta, Indonesia itu berkata, dia tidak pernah menempatkan diri sebagai artis papan atas, apatah lagi dengan kebangkitan ramai bakat muda.
Raisa berkata, sehingga hari ini, dia mampu kekal relevan sebagai artis dalam industri hiburan Indonesia adalah disebabkan sokongan ramai dan terus berkarya mengeluarkan produk.
“Bagi saya, tak pernah berfikir sebegitu. Seperti lagu Anganku Anganmu, semua orang ada peluang. Orang lama dan baharu saling memberikan inspirasi antara satu sama lain.
“Sebenarnya kita perlu konsisten dalam berkarya. Fokus saya adalah nyanyian sahaja dan tak terlalu banyak kandungan, selain muzik atau sensasi lain. Konsisten keluarkan karya, konsert dan sebagainya. Dari sudut kualiti juga perlu dijaga.
“Selepas ini, saya merancang adakan persembahan tunggal di Jepun. Tempoh hari ketika adakan siri jelajah ke 13 lokasi di seluruh Jepun, ada sahaja orang Indonesia yang datang walaupun jumlahnya mungkin dalam 20 hingga 30 orang.
“Sentiasa ada. Jadi, saya rasa peminat di Jepun memang ada dan saya sangat impikan untuk adakan konsert di sana,” katanya.
Sibuk dengan karier seninya, Raisa tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai ibu, malah bangga dengan gelaran ibu kerana proses itu membuatkannya lebih matang dan positif, lapor BH Online.
“Perlu banyak sokongan sebab kata kuncinya adalah sistem sokongan. Sebagai ibu yang bekerja, saya memerlukan sokongan kuat. Kalau nak dikatakan boleh membahagi masa secara sempurna, itu tak mungkin, katanya. – Agensi


