TEHRAN, 3 OGOS – Pemimpin ultra-konservatif, Ebrahim Raisi, dilantik sebagai presiden baharu Iran hari ini, menggantikan Hassan Rouhani yang berhaluan sederhana.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, melalui watikah yang dibacakan oleh ketua stafnya, berkata beliau menugaskan Hojatoleslam Ebrahim Raisi sebagai presiden Republik Islam Iran, mengikut pilihan rakyat. Raisi menggantikan Rouhani, yang merekodkan pencapaian penting perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan enam kuasa besar dunia.
Tugas berat menanti Raisi untuk menyelesaikan rundingan bagi menghidupkan semula perjanjian nuklear, selepas Amerika Syarikat (AS) menarik diri di bawah kepimpinan bekas presiden, Donald Trump. Raisi ketika berucap pada majlis pelantikannya, mengatakan kerajaan akan berusaha membatalkan sekatan AS yang menindas, tetapi tidak akan mengikut telunjuk pihak asing.
Pemimpin berusia 60 tahun itu juga berdepan amaran daripada AS, Britain dan Israel selepas serangan kapal tangki minyak minggu lalu yang dinafikan oleh Tehran. Raisi menang pilihan raya presiden pada Jun lalu, meskipun dipulaukan sebahagian besar pengundi selepas ramai calon berpotensi dilarang bertanding.
Beliau akan mengangkat sumpah di parlimen Khamis ini dan mengemukakan cadangan barisan kabinetnya. – AFP
