Oleh Yusrin Junaidi –
Tanggal 15 Julai menjadi detik yang ditunggu-tunggu oleh sekalian hamba rakyat untuk menyambut Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 pada tahun ini.
Seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam menzahirkan junjung kasih dan memanjatkan rasa syukur atas kepimpinan Baginda yang terus membimbing negara ke arah pembangunan menyeluruh, berasaskan keimanan, wawasan dan keberanian menghadapi cabaran dunia masa kini.
Sepanjang pemerintah dan naungan Baginda, Negara Brunei Darussalam kekal sebagai sebuah negara yang stabil, aman dan progresif – dengan tumpuan yang seimbang antara pembangunan fizikal dan kerohanian, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
MENERAJUI PEMBANGUNAN EKONOMI, INDUSTRI STRATEGIK
Dalam titah sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-78, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan keperluan untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi negara dengan menumpukan kepada sektor-sektor strategik yang mempunyai impak langsung terhadap rakyat dan negara.
Antaranya ialah fasa kedua projek Kompleks Petrokimia dan Penapisan Hengyi di Pulau Muara Besar; Perluasan Pelabuhan Muara sebagai hab logistik serantau; Projek Integrated Marine Maintenance Yard, yang dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memindahkan teknologi baharu kepada rakyat tempatan.
Selain itu, Baginda juga menyeru agar setiap pembangunan mesti membawa manfaat langsung kepada rakyat, sejajar dengan prinsip pembangunan inklusif dan berkualiti.
UNJURAN EKONOMI POSITIF, PERKUKUHAN PMKS
Menurut laporan antarabangsa terkini oleh IMF, ADB dan AMRO, pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam diunjur positif bagi tahun 2024, hasil keberkesanan dasar fiskal, kestabilan monetari dan usaha pembaharuan dasar ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, dalam kenyataannya, menyatakan bahawa usaha pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penglibatan dalam perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) adalah antara pemangkin utama bagi meningkatkan pelaburan asing dan membuka akses pasaran baharu untuk produk tempatan.
Baginda juga menekankan mengenai keutamaan yang perlu diberikan kepada pembangunan keusahawanan tempatan untuk memperkukuh keupayaan PMKS tempatan.
“Dasar PMKS perlu dikaji semula ke arah yang lebih kondusif, memperluaskan rangkaian perniagaan dan akses pasaran serta mengadakan latihan terkini untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan,” titah Baginda.
PERANCANGAN STRATEGIK PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR
Pada penghujung tahun 2024, Kementerian Pembangunan telah melancarkan Buku Pelan Strategik 2024–2029, yang menandakan komitmen jangka panjang dalam memperkukuh infrastruktur negara.
Pelan tersebut merangkumi hala tuju strategik bagi perumahan rakyat yang mapan dan selesa, Kemudahan awam yang inklusif, pengurusan sumber air dan tanah yang berkesan, serta reka bentuk perbandaran moden berteraskan identiti kebangsaan dan prinsip MIB.
KOMITMEN TERHADAP PEMBANGUNAN HIJAU, TENAGA BERSIH
Negara Brunei Darussalam menunjukkan komitmen tinggi terhadap alam sekitar melalui pelaksanaan dasar dan inisiatif perubahan iklim, termasuk Pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 15 peratus pada tahun 2023, pelaksanaan Pelan Adaptasi Negara dan penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Brunei.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menekankan kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan inovasi teknologi tenaga bersih sebagai sebahagian daripada model pembangunan mampan yang akan diwariskan kepada generasi akan datang.
Semasa sambutan Hari Keputeraan Baginda yang ke-78, Baginda menegaskan bahawa kerajaan Baginda sedang menyediakan Pelan Adaptasi Kebangsaan ke arah meningkatkan kedayatahanan negara terhadap impak perubahan iklim.
“Dalam melaksanakan pembangunan, kelestarian alam akan terus menjadi agenda negara kerana ia akan diwarisi oleh generasi akan datang,” titah Baginda.
MEMPERKASAKAN SEKTOR MARITIM NEGARA
Melalui Minggu Maritim Brunei Darussalam (BDMW) 2024, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah menegaskan kepentingan profesionalisme, standard keselamatan antarabangsa dan penggunaan teknologi digital dalam sektor maritim dan logistik laut.
Langkah ini bukan sahaja memperkukuh daya saing Brunei di peringkat serantau, malah menyediakan ruang untuk rakyat tempatan melibatkan diri dalam industri maritim berteknologi tinggi.
SEIMBANGKAN KEMAJUAN FIZIKAL, KEROHANIAN
Pembangunan Negara Brunei Darussalam sentiasa berlandaskan prinsip Melayu Islam Beraja (MIB). Baginda bertitah menegaskan bahawa sebarang bentuk kemajuan lahiriah mesti diseimbangkan dengan kemantapan rohani agar kekal lestari.
Pembangunan rohaniah rakyat melalui pendidikan agama, pengukuhan institusi masjid dan pengamalan nilai-nilai Islam terus diberi keutamaan dalam pembentukan masyarakat berintegriti tinggi.
RAKYAT MENYOKONG WAWASAN BAGINDA
Di bawah naungan dan panduan Baginda Sultan, Negara Brunei Darussalam kekal kukuh sebagai negara berdaulat, damai dan progresif. Kejayaan demi kejayaan dalam bidang ekonomi, sosial, alam sekitar dan kerohanian merupakan bukti bahawa visi Baginda terus membawa Brunei ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
Sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-79 ini, seluruh rakyat dan penduduk merafakkan sembah setinggi-tinggi junjung kasih dan doa semoga Allah SWT sentiasa memberkati dan melanjutkan usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam keadaan sihat wal’afiat, serta terus memimpin negara dengan penuh kebijaksanaan dan keberkatan.
Daulat Kebawah Duli Tuan Patik.