Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja bertunjang Islam, nikmat paling hebat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Rakyat Negara Brunei Darussalam merasa bertuah dan bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana telah dikurniakan seorang raja yang sangat mementingkan iman dan takwa.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah seorang raja yang amat menitikberatkan ajaran Islam sebagai agama yang syumul dan lengkap, agar dapat dipraktikkan dalam semua aspek kehidupan dan pemerintahan negara.

    Kebijaksanaan kepimpinan Baginda dalam menerajui perkembangan negara terus disemai dengan amanah dan tanggungjawab serta memperlihatkan sebagai seorang raja adil.

    Khatib menjelaskan perkara itu semasa menyampaikan khutbah Jumaat, hari ini yang bertajuk ‘Kepimpinan Raja Soleh Membawa Berkat’ dan seterusnya menambah, dengan dasar dan amalan kepimpinan Baginda yang sentiasa menjunjung tinggi agama Islam dan syiar juga, telah menjadikan Brunei sebuah negara yang diberkati Allah.

    Negara berkat itu, jelas khatib, ialah negara yang menerima kurnia Allah yang membawa kebajikan, ketenteraman dan kebahagiaan kepada negara dan penduduknya.

    GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI

    “Ini adalah berkat kepimpinan raja yang adil yang melindungi rakyat jelata, menaungi nusa bangsa dan memimpin rakyat agar sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Allah sehingga iman dan takwa itu hidup subur di jiwa mereka,” katanya.

    Khatib seterusnya menambah, syarat untuk memperoleh keberkatan dalam sebuah negara berdasarkan kepada sikap penduduk sesebuah negara yang beriman dan bertakwa.

    Menurutnya, iman dan takwa itu tidak akan dapat dicapai dan tidak akan dapat membuahkan hasil bagi seorang Muslim, melainkan jika ia disertai dengan ilmu agama.

    “Ini kerana orang yang jahil itu tidak mengetahui apa yang wajib mereka imani, apa yang boleh merosakkan keimanan serta tidak mengetahui apa yang wajib ke atas mereka melakukannya dan apa yang wajib ke atas mereka tinggalkan, dan semua ini akan tercapai melalui pendidikan Islam yang menyeluruh,” tegasnya.

    Khatib berasa amat bersyukur kerana pihak kerajaan sentiasa menyediakan kemudahan bagi rakyat dan penduduk di negara ini untuk menuntut ilmu agama tanpa mengira usia.

    Negara Brunei Darussalam beruntung dipimpin oleh seorang ‘waliyul amri’ yang memiliki ciri-ciri orang yang beriman dan bertakwa yang mempunyai rasa keinsafan diri dan tanggungjawab, bukan sahaja pada diri Baginda sendiri, malah terhadap rakyat yang bernaung di bawah pemerintahan Baginda.

    Dalam pentadbiran dan pengurusan negara, agama Islam terus mendominasi dan mewarnai setiap gerak langkah untuk maju ke hadapan, dan dalam makna yang lebih luas, ajaran agama Islam lebih didepankan dan diutamakan daripada segala-galanya.

    “Kepimpinan Baginda sentiasa berusaha dengan gigih untuk menjadikan bumi Darussalam sebagai sebuah negara zikir, di samping terus meningkatkan kemajuan dalam usaha-usaha membangun dan memajukan negara berteraskan nilai-nilai Islam yang tinggi sama ada dalam bidang sosiopolitik, sosioekonomi, kesihatan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan seumpamanya,” tekan khatib lagi.

    Di samping itu, Baginda adalah raja dan pemimpin yang berwawasan jauh yang mengimpikan pembangunan negara yang berterusan bagi menjamin kesejahteraan rakyat selaras dengan kehendak Islam.

    “Inilah nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita, yang mengurniakan raja yang soleh dan berwibawa. Hasilnya, negara terus menikmati kesejahteraan dan kesentosaan yang berpanjangan,” katanya.

    Islam terus diperhebat bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi agama Islam juga diaplikasikan dalam kehidupan rakyat dan penduduk. Hasilnya, negara terhindar daripada pelbagai kemelut seperti huru-hara, perpecahan, ketidakstabilan politik dan ekonomi, bencana alam yang teruk dan seumpamanya.

    “Inilah yang wajib dikekalkan,” jelas khatib, yang akan diwariskan kepada generasi keturunan kita yang mana merekalah yang akan diamanahkan untuk mengekalkan Brunei Darussalam pada masa hadapan, sebagai sebuah negara berpendidikan beraja yang berdaulat, aman makmur dan bahagia, kekal kukuh dan utuh sebagai negara yang bertunjangkan Allah.

    Tarikh 15 Julai merupakan tarikh bersejarah bagi negara kerana Baginda Sultan diputerakan dan pada tarikh itu juga setiap tahun, selaku rakyat dan penduduk di negara ini menyambut dan merayakan hari keputeraan raja payung negara yang dikasihi dengan penuh rasa syukur.

    “Sama-sama kita memanjatkan doa kehadrat Allah semoga Baginda Sultan dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan berpanjangan, kekal karar memerintah negara serta mendapat rahmat, pemeliharaan dan perlindungan daripada Allah, memohon agar negara terus aman, makmur, selamat dan sejahtera di bawah kepimpinan raja yang adil lagi bijaksana,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda