Saturday, April 19, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Raja buah’ berjuang selamatkan buah-buahan jarang ditemui

    BOGOTA – Gian Paolo Daguer, seorang jurutera alam sekitar berusia 47 tahun, dalam misinya untuk menyelamatkan spesies buah-buahan semula jadi daripada pupus di salah sebuah negara paling biodiversiti di dunia.

    Beliau mendapat julukan ‘Raja buah’, sibuk menerangkan rasa, tekstur dan potensi kegunaan spesies buah-buahan yang jarang ditemui kepada ribuan pengikut di media sosial.

    Dalam salah satu daripada banyak video di halaman Instagramnya, Daguer memuji keistimewaan lucuma, sejenis buah tropika yang kurang dikenali dan sedang diperkenalkan kepada mereka yang belum pernah mencubanya.

    Dari luarannya, lucuma kelihatan seperti kelapa kecil, manakala isinya menyerupai pulpa avokado kekuningan.

    “Buah ini dianggap sebagai ratu buah di Peru,” kata Daguer ketika dia menerangkan genealogi dan penyebaran geografi buah tersebut, kemudian memotong buah itu lalu memakannya.

    Gian Paolo Daguer bergambar dengan buah yang jarang ditemui iaitu lucuma semasa temu bual bersama AFP di Bogota, Colombia. – AFP
    Daguer semasa menghasilkan sebuah video tentang buah-buahan yang diancam pupus yang kemudian akan dimuat naik di halaman Instagramnya. – AFP
    Antonuela Ariza menambah buah-buahan yang jarang ditemui ke dalam menu restorannya untuk mempromosikan biodiversiti. – AFP
    Gambar AFP
    Beberapa buah tempatan kini berisiko pupus akibat kurangnya kesedaran tentang kewujudannya. – AFP

    Daguer menerangkan buah tersebut tidak terlalu berair. Ia boleh dimakan segar, tetapi sangat kering. Namun, ia mempunyai rasa karamel yang kuat.

    Seperti lucuma, beberapa buah asli Colombia dan rantau ini tidak begitu dikenali di negara yang lebih biasa dengan buah-buahan popular seperti mangga, betik, tembikai dan nanas.
    Beberapa buah tempatan kini berisiko pupus akibat kurangnya kesedaran tentang kewujudannya.

    Carolina Castellanos, seorang ahli biologi di Institut Humboldt, sebuah badan penyelidikan biodiversiti di Bogota, berkata kepada AFP, “Apabila diet kita menjadi lebih homogen, kita makan perkara yang sama di seluruh dunia, jadi spesies (asli) ini semakin terpinggir.”

    “Ini bermakna apabila kita kurang menggunakannya, ia juga semakin kurang ditanam dan lebih mudah untuk ia lenyap,” tambahnya.

    Salah satu buah terancam dalam koleksi Daguer ialah ‘churumbelo’, sejenis beri yang berasal dari wilayah Boyaca, Colombia, di mana persekitaran semula jadinya terancam akibat aktiviti pertanian dan perlombongan.

    “Rasanya manis dan menyegarkan, seakan-akan rasa buah pear,” kata Daguer mengenai spesimen yang mengambil beberapa tahun untuk menjejakinya.

    HILANG SEBELUM IA DIJUMPAI

    Kajian pada tahun 2022 oleh Institut Humblodt dan badan penyelidikan lainnya mengesahkan bahawa negara berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya 3,000 spesies tumbuhan ‘yang boleh dimakan’.

    Tetapi satu per 10 – atau mungkin lebih – telah diancam kepupusan.

    Pada 2024, Colombia telah kehilangan sebahagian besar hutan yang saiznya berukuran sebesar Hong Kong disebabkan oleh penebangan tanah untuk pertanian dan penanaman daun coca, menurut kementerian alam sekitar.

    Coca merupakan bahan utama kokain.

    Semakin ramai penduduk di seluruh negara menanam pokok buah-buahan di taman dan balkoni mereka, menggunakan benih yang dihantar oleh Daguer kepada pengikutnya yang berminat.

    Mereka hanya perlu membayar untuk penghantaran.

    Saluran ‘frutas colombianas’ (Buah-buahan Colombia) miliknya mempunyai lebih 108,000 pengikut, dan Daguer turut menguruskan siri perbualan melalui WhatsApp, di mana ahli biologi, peladang dan tukang masak berkongsi pengetahuan buah yang jarang ditemui dan mengatur pertukaran benih.

    “Pembelajaran sebegini sering kali tidak didokumentasikan oleh sains, tetapi minat daripada awam, kami akhirnya belajar sesuatu,” Daguer, yang sejak kecil berminat untuk mencari buah-buahan yang jarang ditemui, memberitahu AFP.

    Malahan, kerja Daguer telah menyumbang kepada pengkatalogan pertama kali pada 2024 bagi quinguejo, sejenis beri gelap yang tumbuh di Nuqui — sebuah kampung di barat laut terpencil Colombia.

    Daguer bimbang buah-buahan mungkin lenyap daripada alam semula jadi sebelum ia sempat ditemui.

    “Kita pasti tidak boleh terus berfikir bahawa kita boleh terus memusnahkan ekosistem,” katanya.

    Alam semula jadi memerlukan bantuan manusia untuk pulih, tambah raja buah itu oleh pengikut-pengikutnya.

    “Pemulihan boleh dicapai dengan penanaman semula.”

    Antonuela Ariza, tukang masak dan salah seorang rakan kerjasama Daguer, cuba melakukan bahagiannya dengan menambah buah-buahan jarang ditemui ke dalam menu restorannya, Mini-Mal di Bogota, untuk mempromosikan biodiversiti.

    Antara hidangannya termasuk mayones yang dibuat dengan camu-camu – buah yang serupa dengan anggur – sos cili hitam Amazon, dan koktel copoazu, yang menyerupai buah koko.

    “Apa yang kita tidak makan akan hilang,” kata Ariza kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda