OTTAWA, 26 MEI – Raja Charles III dijangka mendarat di Ottawa hari ini untuk lawatan bersejarah bagi menghadiri pembukaan Parlimen Kanada, lawatan singkat yang dilihat sebagai sebahagian daripada menangkis ancaman pengambilalihan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Raja berusia 76 tahun itu, yang juga ketua negara Kanada sebagai sebahagian daripada Komanwel, telah dijemput oleh Perdana Menteri, Mark Carney, untuk menyampaikan titah diraja, yang menggariskan keutamaan kerajaan.
Ucapan itu biasanya disampaikan oleh wakil Raja British di Kanada, Gabenor Jeneral.
Ratu Elizabeth II, bonda Raja Charles yang telah mangkat, hanya menyampaikan titah diraja di Kanada dua kali semasa pemerintahannya yang lama, pada 1957 dan 1977.
Charles, yang membuat lawatan pertamanya ke Kanada sejak pertabalannya, tidak pernah mengulas mengenai ucapan berulang Trump untuk menjadikan Kanada negara ke-51 AS.
Walau bagaimanapun, beliau akan diawasi dengan teliti untuk sebarang komen mengenai kedaulatan Kanada termasuk perdagangan.
Trump telah mengenakan tarif ke atas barangan Kanada termasuk cukai khusus sektor ke atas kereta, keluli dan aluminium, mengancam ekonomi Kanada walaupun beliau telah menggantung sebahagian daripadanya sementara menunggu rundingan.
Ratu Camilla akan menemani Charles dalam lawatan 24 jam ke Ottawa. – AFP
