Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja Charles III lawat Ireland Utara

    BELFAST, 13 SEPT – Raja Charles III hari ini mengadakan lawatan sulung ke Ireland Utara sebagai raja, ketika baginda mengunjungi keempat-empat negara United Kingdom sebelum upacara pengebumian negara bondanya iaitu Ratu Elizabeth II pada minggu depan.

    Pesawat pemimpin negara berusia 73 tahun itu mendarat di Belfast dari Edinburgh, di mana keranda mendiang ratu ditempatkan sebelum kemangkatannya Khamis lalu pada usia 96 tahun.

    Keranda itu akan diterbangkan pada petang ini ke London, di mana orang ramai dijangka memberikan penghormatan terakhir mereka dari petang esok sehingga pengebumiannya pagi Isnin depan.

    Sebagai waris takhta, Charles mengadakan 39 lawatan ke Ireland Utara, dengan sejarah terbaharu terjejas akibat keganasan sektarian berhubung pemerintahan Britain dan perdamaian yang dicapai sejak 1998.

    Lawatan ke-40 baginda diadakan ketika penyokong kesatuan yang setia kepada takhta kerajaan rasa kedudukan mereka di UK terancam, dengan nasionalis dijangka memimpin kerajaan yang dibubarkan di Belfast buat kali pertama.

    Namun di Istana Hillsborough, kediaman rasmi raja monarki di Ireland Utara – Raja Charles III menghantar satu perutusan kepada pemimpin politik bahawa baginda akan bekerja untuk semua komuniti di wilayah berpecah belah itu.

    “Beta memikul tugas baharu dan beta bertekad untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua penduduk di Ireland Utara,” beritahunya.

    Lawatan Ratu Elizabeth II ke Ireland pada 2011 adalah yang pertama oleh monarki British sejak menaiki takhta kerajaan dan dilihat sebagai langkah besar ke arah pengukuhan keamanan yang dicapai di Ireland Utara sejak mencapai kemerdekaan. – AFP

    Raja Charles III semasa bertemu penduduk di Belfast ketika membuat kunjungan pertama ke Ireland Utara sebagai raja. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda