MOSCOW, 20 Sept – Raja Charles III dari Britain akan berangkat ke Perancis hari ini untuk lawatan negara pertamanya sejak menaiki takhta September lalu, lapor Sputnik.
Ketua negara Britain berusia 74 tahun dalam lawatan tiga hari itu akan ditemani oleh isterinya Camilla, permaisuri berusia 76 tahun. Raja dan permaisuri dijadual melawat Paris dan Bordeaux.
Di Paris, pasangan diraja itu akan menghadiri upacara meletakkan gubahan bunga di Arc de Triomphe bersama Presiden Emmanuel Macron dan isterinya, Brigitte.
Ketua-ketua negara itu kemudiannya akan mengadakan mesyuarat dua hala di Istana Elysee diikuti dengan jamuan negara di Versailles.
Raja Charles juga dijadual menyampaikan ucapan di Parlimen Perancis dan bertemu dengan pemimpin perniagaan Britain dan Perancis sebelum berlepas ke Bordeaux, di mana baginda akan bertemu dengan kakitangan tentera Britain dan Perancis selain mengadakan lawatan ke ladang anggur bersama permaisuri.
Lawatan itu dijadualkan semula dari Mac lepas di tengah-tengah protes besar-besaran yang dicetuskan oleh kumpulan pembaharuan pencen Perancis yang kontroversi.
Istana Buckingham berkata lawatan itu akan menyerlahkan kekuatan hubungan Britain dengan Perancis, “menunjukkan banyak cara kedua-dua negara bekerjasama”. – Bernama

(Klik di sini untuk berita lanjut)