Friday, March 14, 2025
32.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja Charles III rasmi ditabalkan

    LONDON, 7 MEI – Raja Charles III secara rasminya ditabalkan sebagai raja Britain, menggantikan mendiang ibunya, Ratu Elizabeth II dalam istiadat pertabalan pemerintah lelaki pertama sejak 1953.

    Archbishop of Canterbury, Justin Welby memakaikan mahkota St Edward di kepala Charles sebagai simbol kesucian dan kewibawaan raja kuno pada jam 12:02 tengah hari waktu Britain.

    Serentak itu, ‘Daulat Tuanku’ dilaungkan 2,300 ahli jemaah di Westminster Abbey, diiringi instrumen trompet ketika kemuncak istiadat pertabalan itu.

    Istiadat diteruskan dengan tembakan das senapang.

    Charles, 74, akan memakai mahkota St Edward hanya sekali semasa pemerintahan Baginda, manakala Raja Permaisuri, Camilla, 75, dinobatkan sebagai ratu dalam upacara lebih ringkas selepas itu.

    Raja Charles III menerima Mahkota St Edward semasa majlis pertabalannya di Westminster Abbey di London pada 6 Mei 2023. – AP

    Istiadat yang disertai kira-kira 100 ketua negara dan orang kenamaan, menyaksikan Charles ditabalkan di Westminster Abbey, yang menjadi lokasi bagi semua pertabalan sejak William the Conqueror pada 1066.

    Menurut Perintah Perkhidmatan, istiadat pertabalan sejak berabad lalu, diubah suai dengan keperluan semasa, yang mana upacara Charles buat pertama kalinya merangkumi perarakan pemimpin agama dan pembabitan pelbagai pihak yang mencerminkan kepelbagaian budaya United Kingdom serta penduduknya, iaitu berbeza dengan 70 tahun lalu.

    Sebagai Raja, Charles yang juga gabenor tertinggi Gereja England dengan gelaran ‘Pelindung Kepercayaan’, sebelum ini, mempertahankan kedudukan Baginda yang ingin menjadi pembela semua agama.

    Menurut Perintah Perkhidmatan, Raja akan berdoa buat kali pertama pada istiadat pertabalan secara terbuka bagi memohon rahmat dan berkat kepada semua daripada setiap kepercayaan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda