WASHINGTON, 28 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerima jemputan daripada Raja Britain, Raja Charles III, untuk lawatan negara kali kedua – sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini, menurut Perdana Menteri UK, Keir Starmer, dalam satu kenyataan di Washington kelmarin.
Menurut laporan PA Media/dpa, Starmer menyerahkan surat jemputan rasmi daripada Raja Charles kepada Trump.
Trump mengesahkan bahawa beliau akan melawat UK dalam masa terdekat.
“Ia satu penghormatan besar menerima kunjungan Perdana Menteri Starmer di Pejabat Oval. Tempat ini sangat istimewa dan beliau seorang pemimpin yang luar biasa – begitu juga dengan United Kingdom, sebuah negara yang saya kenali dengan baik kerana saya sering ke sana.
“Saya akan berkunjung ke UK dan kami menjangkakan untuk bertemu lagi dalam masa terdekat – pengumuman rasmi akan dibuat nanti,” kata Trump.
Lawatan Starmer ke Washington tertumpu kepada perbincangan mengenai perang di Ukraine, di tengah-tengah hubungan yang tegang antara AS dan Eropah. – Bernama
