LONDON, 7 MAC – Raja Charles dari Britain bekerjasama dengan Apple Music untuk melancarkan rancangan The King’s Music Room, berkongsi senarai lagu peribadinya yang memberikan kegembiraan, termasuk disko, reggae dan Afrobeats, lapor PA Media/dpa.
Bob Marley, Kylie Minogue, Grace Jones dan artis kontemporari seperti Davido dan Raye antara yang tersenarai dalam lagu pilihan utama Raja Charles dari seluruh Komanwel.
Merekodkan siaran radio untuk Apple Music 1 di pejabatnya di Istana Buckingham, Baginda berkongsi anekdot tentang pertemuannya dengan beberapa artis dan mendedahkan bahawa senarai lagu yang dipilihnya membentuk runut bunyi dalam kehidupan Baginda.
Charles turut berkongsi mengenai kesan muzik terhadap dirinya, menyorot kemampuannya untuk membangkitkan kenangan bahagia, memberi ketenangan ketika berduka serta membawa kegembiraan.
Dalam rakaman videonya, Raja Charles, yang memakai sut dan tali leher serta sapu tangan di poket jaketnya, dilihat duduk di meja antiknya sambil merakamkan ucapan dengan papan tanda vintaj ‘On Air’ yang menyala di sebelahnya.

Charles bertitah, “Sepanjang hidup beta, muzik memberi makna yang besar kepada beta. Beta tahu itu juga berlaku kepada individu yang lain.
“Ia mempunyai keupayaan luar biasa untuk membawa kenangan bahagia datang dari lubuk ingatan kita yang dalam, untuk menghiburkan kita pada waktu kesedihan dan membawa kita ke tempat yang jauh.
“Tetapi mungkin, yang paling utama, ia dapat mengangkat semangat kita dengan begitu mendalam dan lebih-lebih lagi apabila ia menyatukan kita dalam perayaan. Dengan kata lain, ia membawa kegembiraan kepada kita.
“Jadi inilah yang beta ingin kongsi senarai lagu yang membawa kegembiraan kepada beta. Ini nampaknya cara yang sangat menarik dan inovatif untuk meraikan Hari Komanwel tahun ini, ” jelas Raja Charles.
Baginda memberitahu pendengar, “Terima kasih kerana mendengar. Beta mengucapkan segala yang terbaik untuk awda semua.” – Bernama