LONDON, 28 MAC – Raja Britain, Raja Charles III “memerlukan tempoh pemerhatian singkat di hospital” selepas mengalami kesan sampingan daripada rawatan kansernya, menurut kenyataan Istana Buckingham pada petang kelmarin.
Raja Charles membatalkan lawatan kerjanya ke Birmingham hari ini untuk mengutamakan pemulihan dan kini telah kembali ke Clarence House, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Sumber menggambarkan keadaan itu sebagai “halangan kecil dalam pemulihan yang semakin baik.”
Istana Buckingham menyatakan dalam kenyataannya, “Berikutan rawatan perubatan berkala dan berterusan untuk kanser pagi ini, Raja Charles mengalami kesan sampingan sementara yang memerlukan pemerhatian singkat di hospital.
“Justeru, urusan rasmi baginda pada petang ini ditangguhkan.
“Baginda kini telah kembali ke Clarence House, dan sebagai langkah berjaga-jaga atas nasihat perubatan, jadual program esok juga akan disusun semula.
“Baginda ingin memohon maaf kepada semua pihak yang mungkin terjejas atau kecewa atas perubahan ini.”
Raja Charles didiagnos menghidap sejenis kanser pada Februari 2024 dan kembali menjalankan tugas awam pada April meskipun masih menerima rawatan mingguan.
Baginda mempunyai jadual sibuk minggu ini, termasuk menghadiri resepsi media, melawat pameran tanah, dan dijadualkan melakukan lawatan kenegaraan bersejarah ke Itali dalam tempoh 10 hari lagi.
Raja Charles sepatutnya bertemu dengan duta-duta besar di Istana Buckingham pada petang Khamis, tetapi pertemuan itu ditangguhkan. – Bernama
