Wednesday, July 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja Charles suarakan sokongan mangsa banjir Australia

    SYDNEY, 30 MEI – Raja Charles III menyuarakan sokongan kepada bandar-bandar di Australia yang berdepan ‘kemusnahan memeritkan jiwa’ akibat banjir rekod minggu lalu, menurut gabenor jeneral negara itu hari ini.

    Lima orang dilaporkan maut apabila air banjir melanda kawasan utara New South Wales, sebuah wilayah yang dipenuhi rangkaian sungai kira-kira 400 kilometer dari Sydney.

    “Beta dan permaisuri amat bimbang apabila mendengar tentang banjir besar yang meluas dan memusnahkan,” titah Raja Charles, ketua negara Australia.

    “Ketika kecemasan segera ini berlalu, beta amat sedar bahawa komuniti sedang berdepan kerosakan teruk dan menyedihkan terhadap rumah, harta benda, infrastruktur serta kehilangan mata pencarian dan ternakan yang berharga,” titahnya lagi dalam kenyataan yang disiarkan oleh Gabenor Jeneral Sam Mostyn di media sosial.

    “Beta amat menyedari bahawa kesan krisis ini akan berpanjangan selama berbulan-bulan.”
    Ribut tersebut mencurahkan hujan yang bersamaan lebih enam bulan dalam tempoh tiga hari, menurut jabatan kaji cuaca kerajaan dan memecah rekod di beberapa kawasan.

    Air yang semakin naik menyebabkan kira-kira 50,000 orang terperangkap buat sementara waktu, memaksa sebahagian daripada mereka memanjat ke atas kereta, rumah dan jambatan lebuh raya sebelum diselamatkan dengan helikopter.

    Pihak berkuasa berkata kira-kira 800 buah rumah kini tidak lagi selamat didiami, manakala ribuan harta lain turut mengalami kerosakan. – AFP

    Penduduk Australia memandu melalui jalan yang dilanda banjir di Taree, salah sebuah bandar yang paling teruk terjejas akibat banjir, pada 23 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda