LONDON, 3 MAC – Raja Charles III berkenan menerima kunjungan hormat Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy di Sandringham Estate kelmarin.
Helikopter tentera yang membawa Zelenskyy kelihatan terbang rendah dan mendarat di kawasan ladang yang terletak di timur England sekitar 5:25 petang. Orang ramai, sebahagiannya membawa bendera Ukraine berkumpul di luar kawasan ladang untuk menyaksikan ketibaannya.
Pertemuan itu berlaku selepas Zelenskyy menghadiri sidang kemuncak pemimpin Eropah di Lancaster House, London.
Sebuah konvoi kemudiannya membawa presiden Ukraine melalui kawasan ladang menuju ke Sandringham House.
Raja Charles berkenan menerima menghadap Zelenskyy untuk santapan petang sebelum helikopter yang membawa pemimpin itu berlepas sekitar 6:35 petang.
Pertemuan itu merupakan kali kedua setelah Zelenskyy melakukan lawatan mengejut ke UK pada Februari 2023 dan menerima jemputan daripada Istana Buckingham.
Ia berlaku selepas insiden bertikam lidah antara Zelenskyy dengan Presiden AS Donald Trump dan Naib Presiden JD Vance di Pejabat Oval Rumah Putih pada Jumaat lalu.
Sehari sebelumnya, Raja Charles menjemput Presiden Trump untuk melakukan lawatan rasmi kedua ke UK, satu peristiwa yang belum pernah berlaku sebelum ini. – Bernama
