LONDON, 11 MAC – Raja Charles III hari ini menyatakan komitmennya untuk terus berkhidmat ‘sebaik mungkin’ selepas didiagnosis dengan kanser, sambil mengatakan Baginda ‘amat terharu’ dengan doa dan ucap selamat orang ramai untuk kesihatannya.
Raja berusia 75 tahun itu, yang naik takhta pada September 2022 selepas kemangkatan Bondanya, Ratu Elizabeth II, telah menjalani pembedahan prostat tidak berbahaya pada Januari tetapi kemudiannya disahkan menghidap kanser yang tidak berkaitan.
Baginda telah menangguhkan semua tugas-tugas awam semasa menjalani rawatan, namun tetap meneruskan tugas-tugas di balik tabir dan telah mengadakan beberapa pertemuan secara peribadi.
“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, saya amat terharu dengan doa dan ucap selamat awda untuk kesihatan saya,” katanya dalam ucapan pra rakaman sempena ulang tahun ke-75 Komanwel.
“Sebagai balasan, saya hanya dapat terus berkhidmat kepada awda, sebaik mungkin, di seluruh Komanwel,” tambahnya.
Isteri Charles, Permaisuri Camilla, 76, dan Putera William, 41, telah mengambil alih sebagian besar tugas keluarga diraja semasa ketiadaannya.
Isteri William, Puteri Kate, 42, juga tidak hadir dalam acara-acara rasmi dan di khalayak umum sejak menjalani pembedahan perut pada Januari. Dalam ucapannya, Charles memuji kepelbagaian Komanwel dan menggesa negara anggota supaya bekerjasama untuk mengatasi cabaran iklim dan ekonomi yang dihadapi dunia. – AFP
