Tuesday, July 22, 2025
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja dadah Ecuador diekstradisi ke AS

    QUITO, 21 JULAI — Kerajaan Ecuador kelmarin telah mengekstradisi ketua sindiket dadah terkenal, Adolfo Macias, yang lebih dikenali sebagai ‘Fito’, ke Amerika Syarikat (AAS) — sebulan selepas dia ditangkap semula selepas melarikan diri dari penjara keselamatan maksimum pada 2024, menurut pihak berkuasa penjara negara itu.

    Pesawat yang membawa Macias telah mendarat di negeri New York malam kelmarin, berdasarkan laman penjejakan penerbangan Flightradar.

    Pejabat Peguam Negara AS telah memfailkan pertuduhan terhadap Macias pada April, yang merupakan ketua kumpulan ‘Los Choneros’, atas kesalahan mengedar kokain, konspirasi serta pelanggaran undang-undang senjata api, termasuk penyeludupan senjata.

    Satu surat yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman AS kelmarin menyatakan bahawa Macias dijadualkan untuk membuat penampilan di Mahkamah Persekutuan hari ini, untuk pendakwaan rasmi atas pertuduhan tambahan dalam kes tersebut.

    Kelmarin, Macias telah dipindahkan dari penjara keselamatan maksimum di barat daya Ecuador, sebagai sebahagian daripada proses ekstradisi, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penjara Ecuador (SNAI) kepada media.

    Macias, yang pernah bekerja sebagai pemandu teksi sebelum menjadi ketua kartel jenayah, telah bersetuju dalam satu sesi mahkamah di Quito minggu lalu untuk diekstradisi ke AS bagi menghadapi tuduhan tersebut.

    Dia merupakan rakyat Ecuador pertama yang diekstradisi sejak undang-undang baharu mula dikuatkuasakan tahun lalu, susulan referendum yang diadakan oleh Presiden Daniel Noboa bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk memperhebatkan perang terhadap kumpulan jenayah terancang. – AFP

    Adolfo Macias dikawal oleh Menteri Dalam Negeri Ecuador John Reimberg (kanan) dan anggota tentera sebaik tiba di pangkalan udara di Guayaquil, Ecuador pada 25 Jun lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda