Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja Felipe adakan lawatan negara ke China

    BEIJING, 12 NOV – Raja Sepanyol, Felipe VI menerima sambutan meriah daripada pemimpin China, Xi Jinping di Beijing hari ini, dalam lawatan negara pertamanya ke China sejak ayahandanya turun takhta pada 2014.

    Bekas raja yang kini hidup dalam buangan, Juan Carlos, merupakan raja Sepanyol pertama yang melakukan lawatan negara ke China pada tahun 1978.

    Lawatan negara terakhir beliau ke China adalah pada tahun 2007, ketika beliau bertemu dengan bekas presiden China, Hu Jintao.

    Felipe, 57, pernah melawat China dalam beberapa acara lain, termasuk semasa Sukan Olimpik Musim Panas Beijing pada tahun 2008.

    Xi sendiri menerima sambutan meriah ketika melawat Sepanyol pada tahun 2018 dan hari ini beliau menyifatkan Felipe sebagai ‘rakan baik rakyat China’.

    Raja Felipe pula menambah, ‘hubungan dua hala penting berasaskan kepercayaan telah terjalin’ antara kedua-dua buah negara, yang minggu ini meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan hubungan dua hala peringkat tinggi.

    Felipe dan isterinya, Ratu Letizia, tiba dengan menaiki limousin ke Dewan Besar Rakyat di bandar negara itu, di mana mereka bertemu Xi, diiringi Menteri Luar China, Wang Yi dan Menteri Perdagangan, Wang Wentao.

    Menurut data daripada Istana Diraja Sepanyol, China merupakan rakan dagang terbesar Sepanyol di Asia dan keempat terbesar di peringkat global. – AFP

    Felipe VI (kiri) dan Xi Jinping berjabat tangan selepas majlis menandatangani perjanjian di Dewan Agung Rakyat di Beijing, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda