ACCRA, 11 NOV – Britain dan Afrika Selatan telah memulangkan lebih 130 artifak emas dan gangsa yang diambil dari Ghana antara tahun 1870an hingga awal abad ke-20, umum Raja Asante negara Afrika Barat itu.
Otumfuo Osei Tutu II menerima artifak tersebut di Muzium Istana Manhyia di Kumasi pada Ahad, menurut kenyataan diraja.
Antara barangan yang diterima termasuk lambang kebesaran diraja, gendang serta pemberat emas upacara. Artifak yang berusia antara 45 hingga 160 tahun itu menggambarkan sistem pemerintahan, kepercayaan spiritual dan peranan emas dalam masyarakat Asante.
Dalam majlis tersebut, Raja Asante menyampaikan penghargaan kepada syarikat perlombongan Afrika Selatan, AngloGold Ashanti, kerana memulangkan beberapa artifak yang dibeli di pasaran terbuka. Syarikat perlombongan itu sebelumnya memulangkan beberapa artifak kepada Ghana pada tahun 2024.
Pemulangan terbaharu ini turut merangkumi 110 artifak daripada koleksi Muzium Barbier-Muller di Geneva, yang dikumpulkan oleh pengumpul seni Josef Muller pada tahun 1904.
Sebanyak 25 objek lain disumbangkan oleh ahli sejarah seni Britain, Hermione Waterfield, yang menubuhkan Jabatan Seni Tribal di Christie’s pada tahun 1971.
Menurut ahli sejarah seni merangkap pengarah Muzium Istana Manhyia, Ivor Agyeman-Duah, sumbangan Waterfield termasuk sebuah gendang kayu yang dipercayai dirampas semasa pengepungan Kumasi pada tahun 1900 oleh tentera penjajah British.
Pada tahun 2024, Muzium Istana Manhyia turut menerima 67 objek budaya yang dipulangkan atau dipinjamkan daripada institusi termasuk Muzium British, Muzium Victoria dan Albert di London serta Muzium Fowler di Los Angeles. – AFP

