PENDEDAHAN terhadap kepen-tingan membantu insan memerlukan sejak remaja menjadikan pelakon dan pengacara, Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad cukup peka terhadap situasi di sekelilingnya.
Akui bintang berusia 32 tahun ini lagi, kesedaran tersebut makin kuat tertanam di dalam diri apabila nenek kesayangan, meninggal dunia di depan mata ketika usianya mencecah 18 tahun.
Raja Ilya yang sememangnya menggemari kerja-kerja sosial menyifatkan setiap individu mempunyai keprihatinan bukan saja sesama manusia tetapi alam sekitar.
“Banyak lagi yang boleh kita lakukan, selain membantu anak yatim, fakir miskin dan sebagainya. Sebab yang paling penting, buatlah dengan seikhlas mungkin. Bukan ada niat tersirat,” katanya. Katanya, sebagai persediaan apabila berdepan dengan musibah tak terduga, dia mempunyai kit kecemasan di dalam kereta.
“Malang tidak berbau. Jadi saya sediakan first aid yang advanced yang boleh digunakan jika perlu. Saya akan bawanya ke mana saja saya pergi. Sejak zaman sekolah, saya menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah. Jadi, pendedahan terhadap kepentingan membantu di saat kecemasan sudah diasah sejak kecil.

“Pendedahan dan pengetahuan itu seiring dengan kursus pertolongan cemas atas inisiatif sendiri. Bukan untuk diri semata-mata, tapi juga mungkin boleh diaplikasikan pada yang memerlukan juga, Insya-ALLAH,” beritahu Ilya.
Bercakap mengenai sisi kerjaya seninya pula, Raja Ilya yang sebelum ini sinonim menerusi drama Gerak Khas memberitahu, dia tidak mengambil sebarang tawaran besar sepanjang tiga bulan ini demi memastikannya bersedia menanti peluang tahun depan.
“Bukan tiada tawaran berlakon, tapi saya perlu tolak sebagai persiapan mengembangkan kerjaya lakonan di Amerika Syarikat.
Katanya, persiapannya dalam konteks mental dan fizikal terutama meluangkan masa di gim untuk mendapatkan bentuk tubuh ideal dengan kesesuaian watak selain memastikan semua berada dalam keadaan bersedia sebelum berangkat ke sana.