ASTANA, 2 Nov – Raja Jordan, Raja Abdullah II menerima Anugerah Nazarbayev, atas usahanya dalam mewujudkan zon bebas senjata nuklear, yang disampaikan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev dalam satu majlis yang berlangsung di kediaman rasmi presiden di sini, Rabu.
Anugerah dikenali ‘Nuclear-Weapons-Free World and Global Security’ itu, sebagai menghargai sumbangan Raja Abdullah II, dalam melindungi lebih 1.5 juta pelarian Syria di Jordan dan hasratnya untuk menjadikan Timur Tengah sebagai zon keamanan, termasuk penubuhan zon bebas senjata nuklear.
Baginda menjadi penerima pertama anugerah berkenaan yang diwujudkan oleh Nazarbayev untuk mengiktiraf sumbangan pemimpin dan organisasi dunia, dalam perkara berkaitan keselamatan global, kestabilan serantau dan pengawalan senjata nuklear.
“Ini adalah pengiktirafan terhadap sumbangan yang diberikan dan berharap terus memberikan sumbangan serta memainkan peranan sebagai pengaman di Syria dan Iraq.
“Dalam proses Rundingan Damai Syria di Astana, Jordan juga memainkan peranan besar, disebabkan itu adalah menjadi satu penghormatan kepada saya untuk menyampaikan anugerah kepada baginda,” kata Nazarbayev pada sidang akhbar bersama.
Raja Abdullah II, yang dalam rangka lawatan rasmi ke Kazakhstan, melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Presiden serta rakyat negara itu.
“Jordan dan seluruh masyarakat antarabangsa tahu dan menghargai peranan dimainkan Kazakhstan dalam menyelesaikan konflik di peringkat dunia. – Bernama