OSLO, 3 MAC – Raja Norway, Raja Harald, kembali ke negaranya dari Malaysia hari ini selepas jatuh sakit semasa bercuti dan menghabiskan beberapa hari di hospital, kata istana diraja.
Raja tertua yang memerintah di Eropah pada usia 87 tahun itu mendapat jangkitan semasa melancong ke pulau Langkawi dan dimasukkan ke hospital pada Selasa.
Istana diraja berkata kelmarin Baginda telah dipasang dengan perentak jantung ‘sementara’, yang menurut doktor peribadinya akan menjadikan perjalanannya lebih selamat.
Selain itu, istana diraja turut berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa Raja Harald akan ‘segera berada di Lapangan Terbang Langkawi untuk pengangkutan perubatan’, dan akan disertai oleh Permaisuri Sonja.
“Setibanya di Norway, Baginda akan dimasukkan ke hospital Rikshospitalet di Oslo.
“Baginda akan bercuti sakit selama dua minggu,” lanjut kenyataan itu.
Sebuah pesawat perubatan yang dipercayai membawa raja itu berlepas dari Langkawi pada petang tadi, selepas polis mengiringi konvoi yang termasuk ambulans dari hospital ke lapangan terbang, seorang wartawan AFP melihat. – AFP