Wednesday, April 2, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja Salman agih 1.2 juta naskhah Al-Quran sempena Ramadan

    RIYADH, 27 FEB – Raja Arab Saudi, Raja Salman berkenan meluluskan pengagihan 1.2 juta naskhah Al-Quran, termasuk terjemahan dalam 79 bahasa kepada pusat Islam dan kebudayaan serta Pejabat Atase Agama kedutaan Arab Saudi di seluruh dunia.

    Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada program pemberian Al-Quran oleh Raja Salman, yang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan serta meliputi 45 negara sepanjang Ramadan.

    Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan, Sheikh Dr Abdul Latif Al-Sheikh, menzahirkan rasa terima kasih kepada Raja Salman serta Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Mohammed bin Salman bin Abdul Aziz Al Saud, atas sokongan berterusan mereka dalam memberi khidmat kepada umat Islam di seluruh dunia.

    Beliau menyifatkan naskhah yang diagihkan sebagai antara edisi terbaik dan dihasilkan dengan sangat teliti, mencerminkan dedikasi kepimpinan Arab Saudi dalam menyebarkan ajaran Al-Quran dan memastikan umat Islam di seluruh dunia mendapat manfaat daripadanya, terutamanya semasa Ramadan.

    Menteri tersebut turut menekankan sokongan berterusan daripada kepimpinan negara dalam memperkasakan misi kementerian, untuk mempromosikan nilai sebenar Islam iaitu toleransi dan hidup bersama.

    Semua persiapan logistik telah selesai dengan pengagihan akan dilaksanakan dengan penyelarasan Pejabat Atase Agama, pusat berkaitan, serta pelbagai majlis dan organisasi Islam bagi memastikan penghantaran tepat pada masanya sepanjang Ramadhan, tambahnya. – Bernama

    Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud. – Gambar Fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda