RIYADH, 29 April – Raja Arab Saudi, Raja Salman telah melancarkan pembinaan ‘bandar hiburan’ berhampiran Riyadh, sebagai sebahagian daripada projek jutaan dolar yang menumpukan bagi membantu negara yang bergantung kepada minyak itu untuk mempelbagaikan ekonomi.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada program memperluaskan lagi pelaburan dan pembentukan semula yang digelar sebagai ‘Visi 2030,’ yang dicetuskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga menghadiri majlis perasmian tapak itu lewat kelmarin.
Pihak berkuasa memuji projek berkeluasan 334 kilometer persegi di Qiddiya, barat daya bandar itu sebagai jawapan kerajaan itu untuk Disneyland.
Fasa pertama termasuk, taman permainan, kelengkapan sukan motor dan kawasan safari, dijangka siap sepenuhnya pada 2022, menurut pegawainya.
Mereka berharap projek itu akan meningkatkan pelaburan asing dan menarik 17 juta pelawat pada 2030.
Bulan ini negara itu telah menghoskan penyiaran filem pertama dalam tempoh 35 tahun, selepas menarik balik penggantungan ke atas wayang yang berdekad lamanya pada tahun lepas.
Pada Februari lalu, Pihak Berkuasa Hiburan Awam Arab Saudi berkata ia akan mengadakan lebih 5,000 festival dan konsert pada 2018, dua kali ganda jumlah pada tahun lepas dan menyalurkan AS$64 bilion ke dalam sektor nanti.
Rakyat Arab Saudi pada masa ini membelanjakan bilion dolar tahunan untuk menyaksikan filem dan melawat taman permainan ke tempat pelancongan di negara jiran seperti Dubai dan Bahrain.
Negara itu juga mencari para pelabur untuk tiga ‘projek giga’ yang berteknologi tinggi, yang dibiayai oleh dana diraja.
Selain Qiddiya, negara itu mendedahkan rangka kerja untuk NEOM digelar Silicon Valley serantau dan destinasi peranginan Laut Merah. – AFP