Thursday, September 28, 2023
25.9 C
Brunei

    -

    Raja sebenar adalah sang ratu

    Oleh Raz AS

    Ikan Selongsong juga dikenali sebagai Siakap Putih di negara jiran, Malaysia dan Kakap Putih di Indonesia.

    Di peringkat antarabangsa pula ikan ini lebih dikenali dengan nama Barramundi terutamanya di Australia atau Asian Sea Bass secara amnya. Selain itu ia juga dikenali dengan nama Giant Perch, Palmer, Cockup, Bekti, Nairfish, Australian Seabass dan Akame.

    Taburan ikan yang diberi gelaran sebagai ‘Raja Muara’ ini boleh didapati di kawasan Indo-Barat Pasifik, dari Asia Selatan ke Papua dan bahagian utara Australia

    Nama ikan Selongsong dipercayai berasal daripada bentuk badannya yang menirus pada bahagian kepala dan memanjang seperti peluru. Manakala Barramundi pula bermaksud ‘ikan sungai bersisik besar’ yang diambil daripada bahasa etnik asli Australia di Queensland.

    Manakala di Jepun, nama Akame bermaksud ‘mata merah’ yang merujuk kepada warna matanya yang kemerah-merahan.

    Ikan Selongsong yang terperangkap di kawasan air tawar tidak akan dapat membiak, oleh itu ia perlu distok semula.

    Selain badannya yang memanjang dan kepala yang menirus, bersisik besar dan bermata merah, ikan ini mempunyai mulut yang besar dengan rahang atasnya melepasi matanya. Giginya yang kasar seperti kertas pasir dan bahagian ‘kapi-kapi’ atau penutup insangnya yang tajam memang terkenal sebagai ‘senjata’ yang boleh memutuskan tali pancing dan mengoyakkan jaring.

    Ikan ini merupakan spesies katadromous iaitu spesies ikan yang berhijrah mengikut masa atau kitaran.

    Namun berlawanan dengan ikan salmon yang lahir di air tawar dan berhijrah ke laut, ikan ini lahir di laut dan kemudiannya berhijrah ke sungai. Ini bermakna ikan Selongsong boleh hidup dalam air masin, air bahal dan air tawar iaitu di laut, muara dan sungai.

    Mengikut rekod, seekor ikan Selongsong yang dipasangkan tag telah dikenal pasti berhijrah sehingga sejauh 400 batu dari tempat asalnya.

    Ikan Selongsong boleh hidup lebih 20 tahun, malah boleh mencecah 30 tahun ke atas dan membesar sehingga 1.8 meter atau seberat 60 kilogram.

    Namun tahukah awda bahawa semua ikan Selongsong lahir sebagai ikan jantan dan jantina ikan ini akan berubah daripada jantan kepada betina setelah umurnya mencecah antara tiga ke empat tahun?

    Mengikut kajian, ikan Selongsong akan matang menjadi ikan jantan dewasa setelah panjangnya mencecah kira-kira 50 ke 60sm dan berubah jantina menjadi betina setelah panjangnya mencecah kira-kira 80sm.

    Jadi boleh dikatakan ‘raja’ sebenar yang bertakhta di atas singgahsana muara sebenarnya adalah ‘sang ratu’.

    Namun untuk proses perubahan jantina dan pembiakan ini berlaku, ikan Selongsong perlu berada di kawasan air masin. Ini bermakna ikan Selongsong yang terperangkap di kawasan air tawar disebabkan adanya halangan untuk ia berhijrah, seperti dipindahkan ke kawasan empangan semasa kecil atau membesar di dalam kolam atau tasik air tawar, adalah ikan Selongsong jantan meskipun besarnya sudah melepasi 80sm atau cukup usia. Oleh yang demikian ikan-ikan ini tidak akan dapat membiak.

    Sekiranya awda pernah melihat video-video memancing Selongsong di kawasan-kawasan empangan di Australia, ikan-ikan ini sebenarnya sentiasa distok semula ke kawasan-kawasan tersebut oleh badan-badan yang bertanggungjawab.

    Selain untuk tujuan pancingan rekreasi, ikan-ikan tersebut adalah bertujuan untuk mengawal pembiakan ikan-ikan invasif daripada spesies-spesies asing di negara itu.

    Selain sifatnya yang sememangnya territorial dan agresif, ikan karnivor dan oportunis ini akan menyambar apa saja yang hidup atau jatuh ke dalam air, seperti serangga, katak, tikus, krustasea, ikan termasuk spesiesnya sendiri dan bahkan juga anak buaya.

    Ikan ini juga boleh menelan mangsanya yang bersaiz sehingga 60 peratus daripada panjang badannya sendiri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kim gesa pengeluaran senjata nuklear lebih besar

    PYONGYANG, 28 SEPT - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menggesa peningkatan eksponen dalam pengeluaran senjata nuklear dan agar negaranya memainkan peranan yang lebih...