Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja Sepanyol jadikan peralihan demokrasi model perpaduan politik

    MADRID, 21 NOV – Raja Felipe VI hari ini menggunakan peralihan Sepanyol ke arah demokrasi selepas kematian diktator Francisco Franco pada 1975 sebagai model untuk menyelesaikan konflik dalam iklim politik yang berpecah-belah hari ini.

    “Pada masa apabila perbezaan pendapat diungkapkan dengan ketegangan dan kemarahan, melihat kembali tempoh itu boleh membantu kita,” katanya pada majlis memperingati ulang tahun ke-50 pemulihan monarki selepas kematian Franco.

    “Bukan untuk menjadikannya ideal, tetapi untuk mengingati pendekatannya, dialog mengatasi jeritan, hormat mengatasi penghinaan dan pencarian persetujuan mengatasi pemaksaan kehendak sendiri.”

    Kematian Franco pada 20 November 1975 menamatkan 36 tahun pemerintahan autoritarian sayap kanan yang menyusuli perang saudara 1936-1939 yang membawanya ke tampuk pemerintahan.

    Bapa Felipe, Juan Carlos, diisytiharkan sebagai raja dua hari kemudian, mewarisi kuasa mutlak diktator itu. Juan Carlos segera mengambil langkah untuk melepaskan kuasa tersebut, mengecewakan penyokong Franco dengan menyokong sistem perparlimen dalam monarki berperlembagaan.

    Raja Felipe VI (tengah) berjabat tangan dengan Menteri Kehakiman dan Presiden Sepanyol, Felix Bolano, sewaktu tiba diiringi oleh Permaisuri Sepanyol, Letizia, Puteri Mahkota Sepanyol, Leonor, dan Puteri Sepanyol, Sofia, pada upacara ulang tahun ke-50 pemulihan demokrasi di Kongres, Madrid, kelmarin. – AFP

    Pilihan raya demokrasi diadakan pada 1977 dan rakyat Sepanyol yang baru diberi hak mengundi meluluskan perlembagaan baharu yang menjamin pilihan raya bebas melalui referendum pada tahun berikutnya.

    Juan Carlos, kini berusia 87 tahun, meletak jawatan bagi memberi laluan kepada anaknya pada 2014 susulan siri skandal berkaitan kewangan dan kehidupan peribadinya yang menjejaskan popularitinya.

    Beliau telah menetap secara sukarela di Emiriah Arab Bersatu sejak 2020 dan tidak hadir pada majlis hari ini.

    Semasa majlis tersebut, Felipe menganugerahkan ibunya, bekas Permaisuri Sofía yang kekal di Sepanyol, dengan Order of the Golden Fleece, salah satu darjah kebesaran paling berprestij di negara itu.

    Raja Felipe VI memuji ibunya kerana ‘menyokong dengan penuh yakin Raja Juan Carlos, bapa saya, dalam komitmen bijaksana terhadap keterbukaan dan kebebasan demokrasi.’ – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda