BEIJING, 7 NOV – Atas jemputan Presiden China, Xi Jinping, Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn berkenan mengadakan lawatan negara ke China dari 13 hingga 17 November, menurut jurucakap Kementerian Luar China kelmarin.
Dalam sidang media pada hari sama, jurucakap Mao Ning berkata, Presiden Xi dan Perdana Menteri Li Qiang akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Raja Thailand.
“Ini menandakan lawatan pertama oleh Raja Thailand ke China sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” kata Mao.
Beliau berkata, keputusan Raja Thailand memilih China sebagai negara utama pertama untuk lawatan rasmi baginda mencerminkan sepenuhnya kepentingan besar yang diberikan oleh kedua-dua pihak terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Menurut Mao, kedua-dua negara merupakan jiran yang rapat dan bersahabat, serta berkongsi visi masa depan bersama. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, di bawah panduan strategik pemimpin kedua-dua negara, hubungan China-Thailand kekal berada pada tahap pembangunan yang tinggi.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik China-Thailand dan ‘Jubli Emas Persahabatan China-Thailand’ yang bakal membuka peluang baharu untuk memperkukuh hubungan dua hala, tambah beliau. – Bernama


