BANGKOK, 9 MEI – Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, hari ini telah mempengerusikan upacara tahunan yang penuh adat bagi menandakan permulaan musim penanaman padi dan memberi penghormatan kepada para petani negara itu.
Upacara membajak Diraja diadakan untuk menilik petanda yang meramalkan keadaan pertanian bagi tahun yang akan datang. Seperti kebiasaannya, ramalan menunjukkan keadaan yang baik, walaupun ekonomi Thailand kini perlahan.
Baginda Raja dan Permaisuri Suthida berlindung daripada sinar matahari yang terik di bawah payung hiasan di lokasi tradisi upacara tersebut, Sanam Luang – atau Padang Diraja, sebuah kawasan lapang berhampiran Istana Besar di ibu kota Bangkok.
Menurut ahli sejarah Thailand, ritual tersebut telah wujud sejak lebih 700 tahun lalu. Sejak dahulu lagi, penanaman padi merupakan teras budaya dan ekonomi negara, dan upacara itu bertujuan memberi semangat kepada para petani menjelang musim penanaman yang baharu.
Upacara itu diketuai oleh pegawai tertinggi Kementerian Pertanian yang bertindak sebagai ‘Tuan Membajak’. Dengan mengenakan pakaian tradisional yang berwarna-warni, beliau memilih sehelai kain daripada beberapa pilihan yang disediakan – dan kain yang dipilih ditafsirkan sebagai petanda turunnya hujan mencukupi serta hasil tuaian yang melimpah ruah.
Dalam peringkat kedua upacara, dua ekor lembu jantan disapukan minyak di kepala mereka, sebelum menarik bajak mengelilingi sebahagian padang beberapa kali. Tuan Membajak menabur benih sambil mengetuai satu perarakan kecil yang disertai peserta berpakaian tradisional. – AP
