Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja yang bijaksana dan adil perkasa

    Oleh Zulkamal Haji Kamis

     

    NEGARA Brunei Darussalam memang bertuah kerana memiliki seorang pemerintah dan raja yang adil perkasa serta berjiwa rakyat apatah lagi sepanjang 50 tahun pemerintahan Baginda, rakyat telah menerima pelbagai kemudahan dan kesejahteraan yang sentiasa terjamin di bawah kepimpinan Baginda yang berdaulat.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan seorang raja yang adil lagi bijaksana yang sentiasa berusaha membangun dan memajukan negara seiring dengan negara-negara yang lain di dunia sama ada dalam bidang agama, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi.

    Malah di bawah kepimpinan Baginda, Negara Brunei Darussalam juga bernaung atas kedaulatan Negara Zikir, sebuah negara yang sentiasa di bawah lindungan Allah, penuh keberkatan, nikmat rezeki dan rahmat dari Allah S.W.T.

    Kualiti yang dimiliki oleh Baginda Sultan ternyata beridentitikan satu kekendirian yang memperlihatkan Baginda sebagai seorang pemimpin yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan sekali gus perkembangan serta kemajuan negara.

    Kita sering ditanya oleh masyarakat luar, kenapa rakyat Brunei Darussalam terlalu menyayangi raja mereka, apa istimewanya Baginda Sultan di mata rakyat Brunei Darussalam?

    Rakyat sentiasa gembira dan merasa bertuah terutama sekali apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah atau beramah mesra bersama mereka.
    Budi pekerti Baginda Sultan menunjukkan Baginda adalah seorang raja yang berjiwa rakyat.
    Keberkatan dan kepimpinan Baginda Sultan dalam meneraju perkembangan Negara Brunei Darussalam terus disemai dengan amanah dan tanggungjawab.
    Kemesraan yang ditunjukkan oleh Baginda Sultan adalah sangat responsif dan bermakna kepada seluruh rakyat jelata.

    Pemedulian dan kasih sayang Baginda kepada rakyat jelata jelas tertera melalui kendiri Baginda sebagai seorang raja yang adil dan penyayang.

    Selaku rakyat Negara Brunei Darussalam, kita perlu bersyukur kerana Baginda Sultan adalah seorang ‘raja yang berjiwa rakyat’, ‘raja yang pemeduli’, ‘raja yang penyayang’ dan banyak lagi. Sifat keakraban Baginda Sultan dengan rakyat menjadi satu kebanggaan khususnya kepada seluruh penduduk negara ini.

    Pemedulian dan kasih sayang Baginda kepada rakyat jelata jelas tertera melalui kekendirian Baginda sebagai seorang raja yang adil dan penyayang. Oleh itu, tidak hairanlah, jika kebanyakan pelancong yang datang ke Brunei Darussalam dan menyaksikan sendiri keakraban Baginda bersama rakyat sentiasa mendapat pujian dan disanjung tinggi.

    Sentiasa menuntut kebaikan

    “Kualiti kekendirian Baginda dalam menjaga hubungan Baginda bersama rakyat jelata dengan Allah S.W.T adalah sangat ketara.”

    Konteks ayat itu dibuktikan dengan keberangkatan Baginda untuk meraikan hari-hari kebesaran Islam, membaca Yasin, sembahyang berjemaah serta menunaikan sembahyang Jumaat di masjid-masjid terpilih bersama rakyat jelata.

    Sering kali kita lihat, orang ramai akan berpusu-pusu dan berebut-rebut untuk bersalaman dengan Baginda selepas sahaja selesai menunaikan sembahyang. Namun Baginda tetap tenang malah gembira melihat rakyat Baginda.

    Selain itu, Baginda Sultan merupakan seorang raja yang peramah, sentiasa menjaga muamalah Baginda sesama masyarakat dan sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan rakyat jelata. Reaksi kemesraan yang ditunjukkan oleh Baginda Sultan adalah sangat responsif dan penuh bermakna kepada seluruh rakyat jelata.

    Hal ini dapat disaksikan ketika Baginda berkenan menerima junjung ziarah oleh hampir keseluruhan rakyat Baginda.

    Raja yang adil memang menjadi akauntabiliti Baginda untuk mementingkan ketenteraman dan keamanan negara. Antara strategi Baginda yang jelas dalam memelihara ketenteraman dan keamanan negara dengan menekankan kepentingan aspek-aspek ketenteraman, keamanan, kesejahteraan dan keharmonian negara dalam setiap titah-titah Baginda sebagai satu pesanan yang penting daripada Baginda untuk rakyat semua. Seperti salah satu titah Baginda yang berbunyi,

    “Sayugia diingat, bahawa kemerdekaan adalah sebahagian dari sejarah bangsa dan malah merupakan ‘mahkota’ bangsa. Mencuaikan kemerdekaan bermakna mencuaikan sejarah, serta sekali gus ‘menyambaranakan mahkota bangsa.”

    Hati yang luhur

    Seorang raja yang mempunyai hati yang luhur adalah satu keistimewaan dan rahmat bagi rakyat jelata. Baginda Sultan adalah seorang raja yang sudah setentunya memiliki jiwa yang tenang, keluhuran hati, ketulusan, keikhlasan dan sifat ihsan yang ada pada diri Baginda diterjemahkan ke dalam pemerintahan yang adil khususnya dalam usaha Baginda untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat semua.

    Pemerintahan Baginda yang sentiasa menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat jelata seperti terus meningkatkan taraf hidup, memberi prioriti kepada projek-projek perumahan negara, menyediakan pendidikan percuma, pencen tua, memberikan subsidi, perkhidmatan kesihatan kebangsaan adalah percuma kepada semua rakyat dan penduduk tetap malah Baginda Sultan terkenal sebagai seorang yang dermawan yang suka bersedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim.

    Begitulah inisiatif Baginda Sultan sebagai seorang raja yang adil demi untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan tidak ada di antara pemberian Baginda yang diperintahkan untuk dibayar balik kerana pemberian Baginda dihulurkan secara ikhlas.

    Baginda Sultan juga peka akan hal-hal kesejahteraan rakyat Baginda, seperti aduan, rayuan dan sebagainya yang mana Baginda Sultan akan mendengarnya dengan begitu teliti kemudian akan diselesaikan dengan sempurna. Lazimnya, rakyat tidak akan berasa hampa apabila menerima jawapan daripada Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Budi pekerti

    Baginda Sultan dididik dengan keindahan budi pekerti yang mulia. Empat ciri utama menerangkan kualiti budi pekerti yang dimiliki oleh Baginda sebagai seorang raja yang adil dan penaung Negara Zikir iaitu beradat istiadat, berjiwa rakyat, calak Brunei dan qudwah hasanah.

    Keindahan budi pekerti Baginda Sultan adalah dikawal rapi dengan nilai keindahan adat istiadat yang diwarisi sejak dari raja-raja yang terdahulu.

    Ini bermakna, segala nilai akhlak keperibadian yang berdasarkan kepada adat istiadat itu memperlihatkan budi pekerti kecantikan identiti Melayu yang penuh dengan sifat yang baik dan prihatin serta kelembutan berbahasa. Budi pekerti Baginda Sultan menunjukkan Baginda adalah seorang raja yang berjiwa rakyat.

    Baginda tidak hanya menunggu masa untuk berjumpa dengan rakyatnya ketika upacara rasmi sahaja malah Baginda sering mengadakan lawatan-lawatan tidak berjadual ke beberapa buah tempat untuk melihat dan mendengar senario kehidupan lazim rakyat dan penduduk negara.

    Rakyat sentiasa gembira dan merasa bertuah terutama sekali apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah atau beramah mesra dengan mereka. Malah, bagi yang sempat bergambar bersama Baginda, gambar berkenaan selalunya akan dimuat naik ke Facebook atau Instagram dan ada juga yang menjadikannya gambar bersama Baginda sebagai gambar profil peribadi mereka.

    Karismatik dan wibawa

    Sejak dari hari pertabalan Baginda untuk menjadi penerus takhta kerajaan Negara Brunei Darussalam, Baginda sebagai putera sulung yang gahara telah menampakkan aura karismatik sebagai seorang pemimpin dan menunjukkan kewibawaan Baginda sebagai seorang raja yang adil.

    Malah sifat keterbukaan Baginda Sultan mendengarkan nasihat serta pendapat daripada pihak-pihak berkenaan menampakkan karismatik Baginda yang memeduli segala hal ehwal kenegaraan khususnya yang berkaitan dengan kebajikan rakyat dan keharmonian negara.

    Kewibawaan Baginda Sultan dalam menanai perancangan strategi pembangunan negara, ekonomi, pendidikan dan sosial untuk mencapai misi dan visi negara melalui Rancangan Kemajuan Negara menunjukkan bahawa Baginda Sultan adalah raja yang sangat berpengetahuan, bijaksana dan sentiasa mempunyai budi bicara di dalam segala hal ehwal yang berkaitan dengan pembangunan negara.

    Keberkatan dan kepimpinan Baginda Sultan dalam meneraju perkembangan Negara Brunei Darussalam terus disemai dengan amanah dan tanggungjawab serta manifestasi sebagai seorang raja yang adil dan menjadikan hukum serta undang-undang Islam sebagai pegangan utama teras pembangunan negara.

    Segenap lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam menganggap keperibadian Baginda Sultan adalah satu keberkatan, raja yang sentiasa disanjungi dan ketaatan rakyat yang tidak berbelah-bahagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda