Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rajagobal rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Pasukan bola sepak Negara Brunei Darussalam mencipta sejarah hari ini apabila Datuk K. Rajagobal secara rasminya dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan tersebut pada majlis penandatanganan yang berlangsung di bangunan BMCC Kolej IGS, Kampung Kiulap.

    Ketika ditemui pihak media, Datuk K. Rajagobal meluahkan perasaannya apabila dilantik bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih Pasukan Bola sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang menyifatkannya sebagai suatu penghormatan kerana telah diberi kepercayaan sebesar itu.

    Beliau berasa teruja kerana berpeluang kembali ke Negara Brunei Darussalam sejak kali pertama datang ke negara ini pada tahun 1979 ketika masih bergelar seorang pemain dan kini dapat kembali ke negara ini untuk melatih Pasukan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    “Suatu penghormatan bagi mana-mana jurulatih untuk diberi peluang datang ke sini, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bola sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) dan seluruh ahli NFABD kerana memberi sokongan kepada saya dan saya berasa teruja untuk mengambil cabaran ini meskipun ini merupakan kali pertama saya tinggal sini, di mana sebelumnya saya pernah beberapa kali berkunjung ke mari sebagai pemain dan kini sebagai jurulatih,” jelas ketua jurulatih kebangsaan baharu itu.

    Menyentuh mengenai visi sebagai ketua jurulatih, beliau menjelaskan visi dalam jangka masa yang pendek ini adalah untuk mempersiapkan pasukan untuk layak dalam peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF.

    Di samping itu beliau berharap agar liga bola sepak di negara ini dapat dimulakan dengan segara bagi mempersiapkan para pemain dengan sebaik-baiknya dan seterusnya dapat mengaturkan perlawanan persahabatan kerana lebih setahun para pemain tidak terlibat dalam sebarang perlawanan disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.

    Menandatangani bagi pihak NFABD pada majlis pelantikan tersebut ialah Presiden NFABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan dan disaksikan oleh Setiausaha Agung NFABD, Awang Mohammad Shahnon bin Haji Mohd Salleh.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan turut berkesudian menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yusoff bin Pengiran Haji Bahar. Turut hadir ialah para jemputan khas dan beberapa orang pemain kebangsaan negara.

    Datuk K. Rajagobal sebelum ini memulakan tugasnya selaku ketua jurulatih kebangsaan bulan Januari lalu di mana beliau telah mengadakan latihan bersama para pemain pasukan bola sepak kebangsaan selama 12 hari.

    Pengiran Haji Matusin dan Datuk K Rajagobal bergambar sama semasa majlis pelantikan tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda