Oleh Syahmi Hassan –
Jika garaj awda sempit dan penuh dengan peralatan bermusim atau kenderaan kecil, menyimpan basikal boleh jadi satu cabaran.
Meletakkan basikal secara tegak menyukarkan awda memarkir kereta kerana ruang yang terhad.
Oleh itu, sistem penyimpanan basikal secara gantung dan boleh putar ini adalah penyelesaian mudah dan murah yang mampu menjimatkan ruang dengan ketara.
Sistem ini amat mudah dibina dan menggunakan bahan-bahan asas yang mungkin sudah tersedia di garaj awda.
Bahan-bahan yang diperlukan:-
• Kayu lebihan (ikut saiz tayar basikal)
• Cangkuk simpanan dinding (pastikan sesuai dengan berat basikal)
• Dua engsel pintu yang kukuh
• Beberapa skru kayu
• Gerudi
• Pensel
RANCANG, SUSUN ATUR DAN PILIH KAYU
Mula-mula, pilih kayu lebihan yang ingin digunakan. Projek yang dihasilkan menggunakan kayu bersaiz 2×6 inci kerana ia memberikan permukaan lebih lebar untuk menyokong tayar basikal.
Lebar kayu haruslah mengikut ketebalan tayar. Tayar yang lebih besar memerlukan kayu yang lebih lebar. (Gambar 1)
PASANG ENGSEL KE ATAS PAPAN
Engsel ialah komponen utama sistem ini kerana ia membolehkan papan berpusing.
Pasangkan dua engsel di sepanjang sisi panjang kayu – satu di bahagian atas dan satu di bahagian bawah.
Pastikan arah engsel betul supaya ia boleh dilipat seperti buku dan membolehkan kayu berputar dengan lancar. (Gambar 2)
PASANG CANGKUK PENYIMPANAN
Terbalikkan papan dan tandakan titik dua inci dari atas untuk memasang cangkuk basikal. Gerudi lubang dan pasangkan cangkuk dengan ketat. Elakkan memasang dua cangkuk kerana ia boleh menyukarkan pemasangan tayar ke dalam cangkuk. (Gambar 3)
Nota: Gunakan cangkuk yang telah dinilai sesuai dengan berat basikal awda. Penulis pernah menggunakan cangkuk yang tidak cukup kuat dan ia bengkok ketika digunakan.
PASANG PAPAN KE DINDING
Pasangkan papan berserta engsel ke dinding garaj menggunakan skru kayu. Pastikan ia dipasang terus ke stud (bingkai dinding) agar kukuh. Uji keupayaan papan untuk berputar sebelum menggantung basikal. (Gambar 4)
GANTUNG BASIKAL DAN PUTARKAN
Angkat basikal dan sangkutkan tayarnya pada cangkuk (Gambar 5). Kemudian, tolak perlahan ke arah dinding untuk melihat sistem putaran berfungsi dan nikmati ruang yang baru dibebaskan! (Gambar 6)
LANGKAH TAMBAHAN (PILIHAN)
Untuk sokongan tambahan, awda boleh memasang satu lagi cangkuk di bahagian bawah dinding untuk memegang bingkai basikal. Langkah ini berguna terutamanya bagi basikal berat dan memberikan ketenangan fikiran. Namun, jika awda sering menurunkan basikal, ia mungkin sedikit menyusahkan. (Gambar 7)
SELESAI!
Awda kini berjaya membina sistem rak basikal boleh putar yang ringkas dan efektif – hanya dengan masa sejam dan menggunakan bahan lebihan! Jika ruang garaj awda terhad, sistem ini mampu mengubah cara awda menyimpan basikal dengan lebih teratur dan cekap. (Gambar 8)
Tip Tambahan:
• Gunakan engsel pintu berkualiti tinggi untuk putaran lebih lancar
• Cat atau lapis kayu untuk tampak lebih kemas dan tahan lama
• Tambah alas getah di hujung papan untuk elakkan hentakan kuat ke dinding