Oleh Amri HTZ
Pening dengan keadaan pintu masuk atau dalam rumah yang berselerak dengan kasut-kasut dan selipar yang tidak teratur?
Perkara ini biasa dihadapi oleh para pemilik rumah yang setentunya inginkan kesemuanya teratur dan ketenangan fikiran ketika balik ke rumah untuk berehat. Atasi kegusaran disebabkan olehnya dengan mereka rak kasut yang cukup ringkas, murah dan mudah alih yang hanya memerlukan beberapa barangan untuk merekanya.
Barangan diperlukan
Dalam projek mereka rak kasut yang cukup ringkas ini, beberapa barangan yang diperlukan bagi pembuatannya adalah seperti batang penyapu kayu atau dowel (berbentuk bulat) kepingan kayu 2” x 1”, gam kayu, paku, mesin gerudi, gergaji kayu, kertas pasir berukuran 400, 800 dan 1,500 grit, mata gerudi berukuran 20mm (mengikut besar dowel atau batang penyapu digunakan), pita pengukur, pensel penanda dan varnis atau wood oil.
Langkah pertama
Sebelum melakukan langkah pemotongan kayu menjadi bahagian-bahagian kecil, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah meratakan keseluruhan permukaan kayu menggunakan kertas pasir atau ketam kayu. Ini bagi memastikan permukaan kayu benar-benar rata dan halus ketika ia siap nanti selain jika terdapat permukaan tajam, ia dapat dibuangkan yang setentunya boleh mendatangkan kecederaan ketika mengendalikannya.
Bagi penulis, penggunaan ketam kayu untuk meratakan dan menghaluskan permukaan kayu merupakan cara yang terbaik memandangkan ia begitu mudah dan cepat berbanding kertas pasir. Namun kemahiran dalam penggunaannya sangat diperlukan bermula daripada menetapkan bilah ketam kayu yang terkeluar daripada badannya sehinggalah cara menyorong atau menariknya.
Jika anda memilih untuk menggunakan kertas pasir, mulakan proses penggosokan menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit. Sebagai langkah keselamatan, kertas pasir yang digunakan perlulah ditetapkan pada satu blok berupa span keras bagi memastikan ketika proses menggosok, jika kertas pasir terkoyak yang sekali gus mendedahkan tapak tangan pada permukaan kayu secara langsung, tidak akan mencederakan anda. Ini diikuti dengan kertas pasir berukruan 800 dan 1,500 grit bagi melicinkan dan menghaluskan lagi permukaan.
Potongkan kayu menjadi bahagian kecil
Batang penyapu berbentuk bulat yang telah disediakan akan dipotongkan dengan panjang 20sm. Tandakan setiap ukuran yang perlu dipotong menggunakan pensel bagi memastikan kesemuanya nanti mempunyai ukuran yang sama.





Sepuluh batang kayu diperlukan yang akan menempatkan lima pasang kasut (dua batang kayu bagi setiap satu ruangan).
Sementara itu empat batang kayu penyapu (akan dijadikan sebagai dowel untuk mencantumkan rangka rak) dengan ukuran 2sm diperlukan yang juga perlu dipotong menggunakan gergaji kayu.
Keseluruhan batang penyapu yang telah dipotongkan akan dibersihkan permukaan potongan menggunakan kertas pasir.
Untuk kayu penyapu berukuran 20sm, salah satu bahagian hujungnya akan dibentuk dengan membuangkan sedikit bahagian sisi kayu. sementara untuk kayu berukuran 2sm, kesemua potongan kayu di mana kedua-dua bahagian hujungnya akan dibentuk dengan langkah sama.
Langkah ini adalah bagi memastikan proses memasukkannya ke dalam lubang yang akan direka nanti menjadi mudah.
Bagi kayu berukuran 2” x 1”, dua batang kayu dengan panjang 120sm dan 30sm akan diperlukan. Manakala bagi menempatkan potongan kayu batang penyapu ke permukaan kayu berukuran 2” pada bahagian ini, ini memerlukan awda untuk membuat ruang yang khusus baginya menggunakan mata gerudi berukuran 30mm (sama besar dengan diameter batang penyapu). Dengan menandakan jarak setiap 20sm, tebuk ruangan tersebut menggunakan mata gerudi dengan kedalaman 1sm setiap satu.
Langkah seterusnya ialah mencantumkan rangka rak dengan memulakannya pada bahagian hujung kedua-dua kayu menggunakan dowel yang telah dipotong daripada kayu batang penyapu tadi (berukuran 2sm). Sebelum memasukkannya pada kedua-dua bahagian hujung kayu, sapukan ruangan atau dowel tersebut menggunakan gam kayu.
Begitu juga kayu berukuran 30sm yang dipotongkan sebelum mencantumkannya pada bahagian hujung kayu rangka utama (kayu 120sm panjang).
Bagi lubang-lubang selebihnya akan dimasukkan dengan kayu (bulat) berukuran 20sm, berfungsi sebagai tempat meletakkan kasut, juga perlu diisikan dengan gam kayu. Penggunaan gam kayu di sini adalah bagi memastikan ia cukup kukuh dan mampu menahan beban yang diberikan ke atasnya.
Setelah kesemua bahagian dicantumkan, biarkan gam mengering lebih kurang 24 jam sebelum mengendalikannya. Ini bagi memastikan keseluruhan struktur cukup kukuh kerana gam yang tidak mengering sepenuhnya akan menggagalkan cantuman.
Bagi anda yang ingin memastikan ia mampu bertahan lama, lindungi permukaan kayu menggunakan varnis atau wood oil. Selain melindunginya, ia juga berfungsi untuk menimbulkan ira-ira kayu yang terdapat di permukaannya yang setentunya menjadi nilai tambah bagi rekaan anda.
Dengan hanya menyandarkan secara mencondong pada permukaan dinding, rak kasut mudah alih setentunya sesuatu yang boleh digunakan di mana saja, mudah untuk diletakkan dan yang penting menjadikan sesebuah ruangan nampak lebih teratur!