Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rak mini khas pamer koleksi

    Oleh Amri HTZ –

    Hobi mengumpul sesuatu barangan merupakan minat yang universal tanpa mengira had umur.

    Mencari, mendapatkan, menyimpan dan mempamerkan merupakan antara tujuan para pengumpul pada kebiasaannya. Bagi barangan yang cukup kecil, menempatkannya pada sebuah rak mini setentunya dapat mempamerkan sekali gus berkongsi koleksi yang dimiliki. Oleh itu projek ini akan membawa awda mendalami proses rekaan sebuah rak mini merujuk kepada bentuk Lego.

    PERLU SEDIAKAN AWAL PERALATAN

    • Mesin pemotong kayu jenis circular dan meja
    • Ketam kayu
    • Pahat kayu
    • Mesin jig
    • Mesin pencetak
    • Gam kayu
    • Paku atau pneumatic nailer
    • Gergaji kayu
    • Pen atau pensel penanda
    • Pita pengukur
    Wood filler
    • Kertas pasir
    • Papan lapis

    CETAK BENTUK DIPERLUKAN

    Untuk langkah pertama, cetak bentuk diperlukan iaitu kepala model Lego pada sekeping atau beberapa kepingan kertas A4 yang kemudiannya dicantumkan menjadi satu. Bagi awda yang mahir dalam bidang lakaran bebas, boleh melakukannya terus pada permukaan papan lapis tersedia. Panjang bentuk kira-kira 19 inci manakala ketinggiannya 17 ½ inci dan tebal 12mm. (gambar 1)

    Setelah mencetak dan menggabungkannya menjadi satu (bagi penggunaan beberapa keping kertas), dilekatkannya pada permukaan papan. Gunakan pita perekat atau gam untuk menetapkan kedudukannya secara sementara. Apabila gam mengering, potong menggunakan mesin pemotong kayu jenis meja untuk mempercepatkan proses. (gambar 2)

    Bgai permukaan potongan yang tidak dapat menggunakan terus mesin pemotong kayu jenis meja, ia boleh diselesaikan menggunakan mesin jig. Gunakan bilah pemotong khusus kayu yang tajam bagi memastikan pemotongan yang rata dan cepat. (gambar 3)

    Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 1. – Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 2. – Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 3. – Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 4. – Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 5. – Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 6. – Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 7. – Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 8. – Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 9. – Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 10. – Gambar oleh Fixit Fingers
    Gambar 11. – Gambar oleh Fixit Fingers

    KAYU BAHAGIAN SISI REKAAN

    Bagi kayu bahagian sisi rekaan, papan lapis 12mm tersedia kemudian akan dipotong dengan ukuran lebar 1 3/8 inci. Ukuran yang sama juga akan digunakan untuk bahagian pembahagi ruangan dalam rak mini tersebut. Panjang setiap satu bahagian berlainan dengan bahagian pembahagi berukuran 17 inci panjang (sebanyak enam keping), bahagian atas 8 ¾ inci (sebatang), bahagian bawah 10 ¼ inci (sebatang) dan sisi kanan dan kiri 19 ¾ inci (dua batang). (gambar 4)

    Menggunakan teknik Kerf bending, bahagian hujung rekaan yang membulat memerlukan pembuangan material daripada salah satu sudut (bahagian dalam) kayu bagi membolehkannya dilenturkan. Jarak setiap satu ruangan yang perlu dibuangkan menggunakan mesin pemotong kayu ialah lebih kurang 3 inci. Lebih banyak bahagian yang dipotong membentuk jalur-jalur kecil akan memudahkan proses melenturkan. (gambar 5)

    Setelah membuangkan material dari sudut dalaman kayu, cuba lenturkan kayu tersebut bagi membentuk bahagian yang membulat. Jika awda tidak berjaya melenturkannya, lakukan lebih banyak pemotongan dengan jarak yang lebih dekat untuk setiap satu. (gambar 6)

    CANTUM BAHAGIAN REKAAN

    Mulakan proses dengan mencantumkan kayu yang boleh dilenturkan pada sisi kanan dan kiri. Sapukan permukaan cantuman menggunakan gam kayu dan kekalkan kedudukannya menggunakan paku kecil atau stapler. Ini diikuti dengan bahagian bawah dan atas rekaan. (gambar 7)

    Jika kayu yang telah ditetapkan terlalu panjang, awda boleh memotongnya secara manual menggunakan gergaji kayu. Pastikan kayu yang bakal dicantumkan pada bahagian tersebut mempunyai panjang yang mencukupi. Untuk memastikannya tepat, gunakan kayu yang bakal dicantumkan pada bahagian tersebut sebagai sandaran. (gambar 8)

    Bagi bahagian yang terlalu ketat untuk dimasukkan, ketuk perlahan menggunakan mallet. Ini bertujuan untuk melindungi permukaan kayu daripada melekuk jika menggunakan penukul yang terbuat daripada besi. (gambar 9)

    Manakala untuk bahagian pembahagi ruangan rak (dalaman, mulakan langkah cantuman daripada bahagian tengah. Sementara pada kayu terakhir bahagian atas dan bawah yang bahagian hujungnya mempunyai permukaan yang tidak rata, awda boleh membentuknya menggunakan pahat kayu atau menggosoknya menggunakan kertas pasir. (gambar 10)

    GAM DAN CAT

    Untuk bahagian mata dan mulut rekaan, lebihan potongan papan lapis akan dimanfaatkan bagi mereka dua bulatan (untuk mata) berdiameter 70mm. Sementara untuk mulut, sesuaikan ukurannya dengan jarak kedua-dua biji mata. (gambar 11)

    Cat keseluruhan permukaan rekaan (rak) dengan warna kuning sementara bahagian mata dan mulut rekaan berwarna hitam. Rekaan yang telah siap, boleh ditempatkan di ruangan bersesuaian dengan menempatkan alat pendakap pada bahagian belakangnya.

    TIP REKAAN

    • Sapu atau semburkan beberapa lapisan cat bagi memastikan ia sekata setelah mengering.

    • Menggunakan mesin mitre saw akan memudahkan awda menetapkan kedudukan potongan kayu bagi Kerf bending.

    • Lubang-lubang kayu yang terhasil daripada proses pemotongan boleh ditutup dengan wood filler.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda