Oleh Amri HTZ –
Sukar mendapatkan sesuatu barangan apabila diperlukan bukanlah perkara yang dimahukan ketika hendak menyelesaikan sesebuah projek.
Selain menjadikan langkah pembuatan tergendala, hal tersebut turut memberikan tekanan kepada pereka yang ingin menyelesaikannya dalam rangka masa ditetapkan.
Bagi mengelakkannya berlaku, sebuah ruangan khusus untuk meletakkan barangan diperlukan adalah rak.
Oleh itu dalam DIY ini akan membawa awda menelusuri langkah pembuatan rak ringkas namun pelbagai guna.
Barangan diperlukan
Papan lapis ¾ inci dan ½ inci
Gam kayu
Alat pengapit kayu
Mesin router
Mesin pemotong kayu meja
Straight bit ½ inci dan ¾ inci
Skru
Pocket hole jig
UKUR DAN POTONG KAYU
Dalam projek rekaan ini, papan lapis ¾ inci dan ½ inci akan digunakan di mana papan lebih tebal digunakan untuk rangka utama rak dan yang lebih nipis bagi pintu rak. Papan lapis tersedia perlu terlebih dahulu dipotong dengan ukuran diperlukan iaitu 32 x 12 inci dua keping untuk bahagian kiri dan kanan, 36 x 12 inci dua keping (atas dan bawah) dan dua keping bagi bahagian tengah berukuran 35½ x 12 inci. (Gambar 2)












Papan pada bahagian atas dan bawah rekaan akan direka dengan alur berukuran ½ inci khusus untuk memudahkan pintu digeser. Untuk itu, straight bit mesin router akan digunakan pada langkah ini dengan dua alur berjarak 1.4 sentimeter (cm) di antara satu dengan lain serta berkedalaman ¼ inci. (Gambar 3)
Sementara bahagian sisi kiri dan kanan rak, dua alur pula akan direka dengan jarak 8 inci dari bahagian hujung kayu dan di antara kedua-dua papan bahagian tengah. Langkah ini akan menggunakan straight bit berukuran ¾ inci memandangkan ketebalan papan lapis pada bahagian dalam rak menggunakan papan berketebalan sama. Kedalaman alur yang diperlukan lebih kurang ¼ inci. (Gambar 4)
GOSOK PERMUKAAN POTONGAN
Dalam memastikan pintu yang digeser nanti tidak mudah tersekat, ruangan dalam alur terlebih dahulu digosok menggunakan kertas pasir berukuran 200 grit. Untuk memudahkan langkah melalukannya memandangkan ruangannya yang kecil, sekeping papan lapis yang dilapisi dengan kertas pasir akan digunakan sebagai alat untuk menggosokkannya. (Gambar 5)
Sebahagian pereka tidak sukakan bahagian sisi papan lapis yang jelas terlihat kepingan kayu yang dicantumkan bersama yang boleh menjejaskan hasil akhir rekaan, masalah tersebut boleh diselesaikan dengan menutupinya. Menggunakan penyelesaian mudah dan cepat, awda boleh melekatkan iron-on edge berbanding dengan hanya menggunakan seterika. (Gambar 6)
CANTUM KAYU MENGIKUT BAHAGIAN
Langkah seterusnya adalah mencantumkan keseluruhan bahagian rekaan. Sapu gam kayu pada permukaan cantuman kecuali dua alur untuk pintu pada papan bahagian atas dan bawah rak. Minta bantuan seseorang untuk memegang sesetengah bahagian rekaan ketika awda mencantumkannya jika melakukannya sendiri dirasakan sukar. (Gambar 7)
Selain itu, awda juga boleh menggunakan alat pengapit kayu untuk mengekalkan kedudukannya sementara skru dimasukkan sebagai sokongan bagi mengekalkan kedudukan papan bahagian sisi kiri dan kanan rak. Sebelum itu, untuk memudahkan skru dimasukkan, permukaan papan terlebih dahulu ditebuk menggunakan pocket hole jig. (Gambar 8)
POTONG PAPAN LAPIS UNTUK PINTU, PENDAKAP
Dua keping papan lapis berketebalan ½ inci akan dipotongkan untuk dijadikan pintu rak.
Ukuran diperlukan pada langkah ini ialah 16½ x 18½ inci dua keping. Gunakan mesin circular untuk memudahkan langkah pemotongan jika papan yang dipotong terlalu besar bagi mesin pemotong kayu jenis meja. (Gambar 9)
Untuk memudahkan rak digantungkan pada dinding ruangan, lebihan papan lapis akan dipotong dengan ukuran 36 x 3 inci sebagai pendakap. Papan tersebut kemudiannya ditetapkan pada dinding menggunakan skru. (Gambar 10)
Ini diikuti dengan memasukkan skru daripada bahagian atas rak yang akan menembusi pada bahagian kayu pendakap. Gunakan skru dengan panjang lebih daripada 1 inci. (Gambar 11)
Sebagai langkah terakhir, papan lapis untuk bahagian pintu kini boleh tempatkan pada alur direka khusus untuknya. Mulakan dengan memasukan bahagian atas pintu ke dalam alur bahagian atas rak diikuti dengan bahagian bawah. Setelah pintu dimuatkan, kini ia boleh menempatkan barangan penting yang sering digunakan bagi memudahkannya diperoleh ketika awda memerlukannya.
Tip rekaan
Pilih gam kayu yang berkualiti bagi memastikan cantuman kekal kukuh untuk jangka masa yang lama. Bagi memudahkan pintu digeser, permukaan pintu akan ditebuk berfungsi sebagai pemegang atau ruangan untuk jari dimasukkan.









