Sunday, November 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rak tempatkan koleksi kasut teratur

    Oleh Amri HTZ –

    Memiliki koleksi kasut yang pelbagai penting bagi seseorang yang mengutamakan penampilan ketika datang bekerja, bersiar-siar mahupun bersukan.

    Namun pada kebiasaannya, selepas digunakan ia hanya diletakkan di satu ruang dalam keadaan bertindih dan lebih teruk, berselerak walaupun disimpan dalam kotak. Dalam memastikan ia boleh didapatkan dengan cepat atau mengelakkannya tidak teratur, perlu ada rak khusus untuknya yang mudah direka sendiri.

    SEDIA LEBIH AWAL BARANGAN

    Mesin pemotong kayu
    Kertas pasir
    Ketam kayu
    Alat C-clamp
    Skru 2½ inci panjang
    Paku
    Tukul
    Gam kayu
    Pita pengukur
    Pen atau pensel penanda

    POTONG KAYU TERSEDIA

    Kayu-kayu tersedia terlebih dahulu dipotong dengan ukuran diperlukan menggunakan mesin pemotong kayu atau jig. Ukur dan tandakan sebelum memulakan langkah pemotongan. Untuk rangka bahagian sisi rak, kayu-kayu yang diperlukan adalah empat batang kayu berukuran 44.5 x 2 x 2 inci dan lapan batang kayu berukuran 13 x 2 x 2 inci. (gambar 2)

    Sementara untuk kayu bahagian meletakkan kasut, 12 batang kayu berukuran 35 x 1 x 4 inci diperlukan. Kesemua potongan kayu ini adalah untuk menghasilkan sebuah rak mengandungi empat tingkat. Permukaan kasar potongan akan dibersihkan menggunakan kertas pair 80 grit. (gambar 3)

    TANDA DAN TEBUK

    Bagi menghasilkan rangka utama rak, dua batang kayu 44.5 x 2 x 2 inci dengan bahagian tengahnya kayu 13 x 2 x 2 inci. Untuk mencantumkannya, terlebih dahulu awda perlu menebuk lubang bagi skru dimasukkan untuk mengelakkan kayu terbelah menggunakan mata gerudi berukuran 4mm. Tandakan kedudukan 1 inci daripada bahagian hujung atas dan 3.5 inci daripada bahagian hujung bawah kayu 44.5 x 2 x 2 inci untuk kedudukan tingkat pertama dan keempat rak. Sementara bahagian tengahnya, dua tingkat lagi berada pada jarak 20 inci setiap satu. (gambar 4)

    Gambar 1. – Gambar oleh Craftyamigo
    Gambar 2. – Gambar oleh Craftyamigo
    Gambar 3. – Gambar oleh Craftyamigo
    Gambar 4. – Gambar oleh Craftyamigo
    Gambar 5. – Gambar oleh Craftyamigo
    Gambar 6. – Gambar oleh Craftyamigo
    Gambar 7. – Gambar oleh Craftyamigo
    Gambar 8. – Gambar oleh Craftyamigo
    Gambar 9. – Gambar oleh Craftyamigo
    Gambar 10. – Gambar oleh Craftyamigo

    Setelah menebuknya dengan dua lubang, skru berukuran 2½ inci panjang kini boleh dimasukkan untuk mencantumkan rangka utama. Selain menggunakan mesin,
    langkah ini juga boleh dilakukan dengan menggunakan pemutar skru. Bagi awda yang inginkan cantuman kukuh dan kekal, sapukan permukaan cantuman menggunakan gam kayu. (gambar 5)

    PASTIKAN SETIAP SATU KEDUDUKAN KAYU

    Dua rangka utama bagi rekaan diperlukan dalam projek ini yang akan ditempatkan setiap satunya pada sisi kiri dan kanan. Bagi memastikan ia selaras ketika dicantumkan, kedudukan setiap satu kayu sokongan (bahagian tengah bertingkat) perlulah dalam kedudukan yang sama rata. Cara mudah untuknya ialah menggandingkan kesemua kayu rangka utama tersebut. (gambar 6)

    Dalam memastikan permukaan rekaan benar-benar halus, permukaannya perlulah diketam atau digosok menggunakan kertas pasir. Mulakan dengan kertas pasir yang kasar diikuti grit lebih tinggi untuk menjadikan permukaan kayu lebih halus. (gambar 7)

    CANTUM KESELURUHAN BAHAGIAN REKAAN

    Mulakan proses cantuman struktur rekaan daripada bahagian bawah rekaan. Minta bantuan seseorang untuk memegang rangka utama rekaan sementara papan bahagian tengah ditetapkan. Tiga keping papan akan ditempatkan untuk setiap tingkat rak. (gambar 8)

    Langkah mencantumkan struktur rekaan akan diikuti dengan tingkat kedua dan ketiga rak.

    Bagi memastikan kedudukan papan sekata, mulakan langkah mengekalkan kedudukan papan dari bahagian kiri dan kanan dan diakhiri pada bahagian tengah. Langkah ini dapat memastikan jika terdapatnya rongga antara kayu, ia akan disesuaikan jaraknya di antara satu dengan lain. (gambar 9)

    Mencantumkan papan bahagian tingkat teratas rak merupakan langkah terakhir dalam projek ini. Ini diikuti dengan langkah melindungi permukaan kayu menggunakan cat pilihan. Warna yang mampu mengekalkan keindahan permukaan asli kayu amat disarankan pada langkah ini.

    Tip

    Sekurang-kurangnya dua lapisan cat diperlukan untuk memastikan rekaan benar-benar dilindungi.

    Permukaan kayu yang kasar terlebih dahulu perlu dihaluskan menggunakan ketam kayu atau kertas pasir. Selain penggunaan mesin, langkah pemotongan juga boleh dilakukan menggunakan gergaji secara manual.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda