Friday, April 25, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakam memori melalui karya hasil si cilik

    Oleh Amri HTZ

    Dikurniakan anak merupakan rahmat daripada Yang Maha Esa dan impian setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan.

    Semenjak dalam kandungan, para ibu bapa mengambil pelbagai inisiatif merakamkan kenangan detik-detik bersejarah pembesaran anak mereka yang akan dijadikan sebagai memori indah kehidupan mereka bersama.

    Selain merakamkan gambar untuk disimpan dalam bingkai hiasan, penghasilan sesuatu karya bersama anak juga boleh dilakukan. Keunikan cara ini boleh dijadikan kenangan pada suatu hari selain mampu dijadikan perhiasan ruangan.

    Persediaan sebelum pembuatan

    Sebelum si cilik boleh mereka karya tersendiri dengan bantuan awda, beberapa barangan perlu disediakan terlebih dahulu seperti kayu berukuran 2x ½” dengan panjang 8″, 9″, 12″ dan 13″ (dua batang setiap satu bahagian), beg zip lock berukuran besar (cukup besar untuk menempatkan kanvas lukisan ke dalamnya), pewarna akrilik pelbagai warna, stapler, paku, tukul, kain kanvas berukuran 12×16″, gunting, gerudi dan penggantung kanvas serta rubbing alcohol.

    Rakam kenangan melalui karya lukisan

    Bagi langkah pertama pembuatan, kayu yang telah disediakan (2x ½” berukuran 8″ dan 12″ panjang) akan dicantumkan bagi mereka bingkai untuk kain kanvas. Ketika proses pemotongan, pastikan sudut hujung kayu dipotong dengan bentuk 45 darjah bagi memastikan struktur cantuman rangka bingkai kukuh. Bagi memastikan struktur cantuman lebih kukuh, permukaan cantuman perlu disapukan menggunakan gam kayu sebelum mengekalkan kedudukannya menggunakan paku.

    Bagi awda yang memilih untuk mereka kanvas lukisan daripada membeli yang siap sedia perlu meluangkan lebih masa dalam proses rekaan bingkai.
    Kanvas lukisan dan beg zip lock perlu disediakan sebelum memulakan projek.
    Karya yang telah dihasilkan perlu dikeluarkan daripada beg zip lock bagi proses pengeringan.
    Masa untuk si cilik menghasilkan karya lukisan dengan pemantauan awda.

    Setelah itu, letakkan kain kanvas pada meja kerja dalam keadaan terbuka, dan letakkan bingkai yang telah siap dicantumkan ke atasnya. Dengan menempatkan bingkai pada bahagian tengah kain, lipat bahagian hujung kain kanvas pada bingkai tersebut dan kekalkan kedudukannya menggunakan stapler. Lakukan langkah yang sama untuk kesemua sudut kain dan pastikan kain kanvas diketatkan sebelum mengekalkannya menggunakan stapler.

    Bagi awda yang lebih memilih untuk mendapatkan kanvas lukisan dengan cara membelinya, langkah pembuatan kanvas lukisan ini boleh ditinggalkan dan mengikuti langkah pembuatan yang seterusnya. Tujuan merekanya sendiri adalah bagi menjadikan rekaan lebih bermakna di mana awda sebagai ibu bapa turut berperanan dalam membantu si kecil menghasilkan karya.

    Kain pada kanvas lukisan yang telah disiapkan tersebut perlu dibersihkan permukaannya terlebih dahulu menggunakan rubbing alcohol. Ini adalah bagi memastikan permukaan yang akan diwarnakan menggunakan akrilik mampu bertahan lama dan melekat kukuh pada permukaan. Langkah menyapukan rubbing alcohol ini bagi membersihkan permukaan kanvas yang mungkin mengandungi bahan berminyak dan sebagainya yang boleh memberi kesan terhadap pewarna yang digunakan.

    Setelah membersihkannya, biarkan rubbing alcohol mengering dalam masa beberapa minit dan kini awda boleh mula meletakkan pewarna pada permukaan kanvas lukisan. Teknik meletakkan pewarna ini yang boleh dilihat melalui gambar yang disertakan merupakan sebagai cara untuk memberikan pemula bagi anak awda berkarya secara bebas. Susunan warna yang diletakkan pada kanvas lukisan adalah tertakluk kepada kreativiti tersendiri.

    Selesai meletakkan pewarna pada permukaan kanvas lukisan, masukan keseluruhan kanvas lukisan ke dalam beg zip lock yang telah disediakan. Tujuan beg zip lock digunakan dalam projek ini adalah bagi memastikan lebihan pewarna akrilik yang akan diratakan pada permukaan kain nanti tidak akan mengotorkan kawasan kerja awda.

    Kanvas lukisan yang telah dimasukkan ke dalam beg zip lock kini boleh diserahkan kepada si kecil untuk ‘menghasilkan’ karyanya tersendiri sama ada dengan cara menggunakan tangan, kaki mahupun punggungnya ketika dia duduk di atasnya. Kesemua cara ini akan menghasilkan corak unik pada permukaan kanvas sekali gus menghasilkan karya yang luar biasa dan memiliki pelbagai memori.

    Apabila si cilik selesai dengan ‘karyanya’, kini tiba masanya untuk awda mengeluarkan kanvas lukisan daripada beg zip lock dengan cara memotong bahagian sisi beg plastik tersebut menggunakan gunting. Setelah memotongkan bahagian sisi plastik, perlahan-lahan lepaskan lebihan beg plastik pada permukaan kanvas bagi memastikan pewarna yang belum mengering tidak terganggu.

    Biarkan karya lukisan yang terhasil tadi mengering pada suhu bilik dan sementara menunggunya mengering, gunakan masa terluang untuk mereka bingkai pada bahagian luaran kanvas lukisan. Dengan mencantumkan kayu berukuran 2x ½” dengan kepanjangan 9″ dan 13″ tadi, lukisan yang telah mengering boleh dimasukkan ke dalam bingkai baharu tersebut.

    Langkah terakhir yang perlu dilakukan adalah menggantungkan karya lukisan tersebut di ruangan yang bersesuaian. Pilih ruangan yang boleh mempamerkan karya si cilik, agar para memerhatinya sama ada daripada tetamu yang datang bertandang mahupun ahli keluarga tersendiri tahu mengenai sejarah di sebalik karya tersebut. Pada masa depan, karya yang belum difahami pengertian di sebaliknya ini mungkin dapat dihargai si cilik yang telah pun dewasa dan mengetahui akan kepentingan dirinya kepada ibu bapanya!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda