SINGAPURA – Banduan hukuman mati, Nazeri Lajim tersenyum di hadapan kamera, mengangkat jari-jarinya dalam tanda ‘V’, memakai baju dengan motif besar dan tidak menunjukkan tanda-tanda dia akan digantung.
Diambil beberapa hari sebelum hukuman mati di penjara Changi, Singapura, gambar itu adalah antara kenangan terakhir keluarga Lajim terhadap lelaki berusia 64 tahun itu, yang dihukum mati atas tuduhan mengedar dadah.
Di negara kota singa itu, pegawai penjara menawarkan sesi foto sejurus sebelum banduan dihukum gantung, menyediakan prop ringkas seperti kerusi dan barangan lain.
“Apabila saya melihat gambarnya, dia seorang lelaki yang sangat sihat, dia sangat tampan wajahnya berseri-seri,” kata Nazira Lajim Hertslet, adiknya kepada AFP. “Saya sangat kecewa… bahawa dia telah dibawa pergi begitu sahaja.”
Singapura mengenakan hukuman mati bagi sebilangan besar jenayah, termasuk pembunuhan dan beberapa bentuk penculikan.
Negara itu juga mempunyai beberapa undang-undang antidadah yang paling keras di dunia: mengedar lebih daripada 500 gram ganja boleh menyebabkan hukuman mati.
Seramai 13 orang telah dihukum gantung sejak kerajaan meneruskan hukuman mati berikutan penangguhan selama dua tahun semasa pandemik COVID-19.
Dalam program yang mula diperkenalkan pada 1990an, mereka diberikan pilihan untuk bergambar sebelum kematian mereka.
Gambar terakhir
Biasanya diambil dengan latar belakang berbunga hijau muda, foto itu menawarkan gambaran sekilas tentang hari-hari terakhir mereka yang dihukum.
Perkhidmatan Penjara Singapura berkata penyertaan dalam program itu adalah secara sukarela, dan sesi foto ‘membolehkan ahli keluarga memiliki gambar terkini orang tersayang mereka’.
Ahli keluarga, bagaimanapun, mengatakan mereka mempunyai perasaan bercampur-baur tentang amalan itu.
“Sebenarnya adalah agak sadis untuk melakukan perkara sedemikian, mengambil gambar pada hari-hari terakhirnya,” kata Nazira, menunjukkan betapa ngerinya orang yang dihukum mungkin berasa mengetahui bahawa itu adalah kali terakhir mereka bergambar semasa hidup.
“Tetapi sekurang-kurangnya kami mempunyai gambar terakhirnya untuk kenangan apabila dia benar-benar tiada,” tambahnya.
Nazeri digantung tahun lalu kerana mengedar lebih daripada 33 gram heroin.
Dalam gambar kegemaran adik perempuannya itu, dia memakai jubah solat Muslim berwarna putih, tangannya digenggam ke hadapan, tanpa melihat ke arah kamera.
Pose bermakna
Tidak banyak maklumat tersedia secara umum mengenai banduan hukuman mati Singapura.
Kolektif Keadilan Transformatif (TJC), yang memberikan sokongan kepada keluarga banduan hukuman mati dan peguam bela bagi pemansuhan hukuman mati, menganggarkan kira-kira 53 orang berada dalam barisan hukuman mati, di mana kebanyakannya telah disabitkan dengan kesalahan dadah.
Pihak berkuasa biasanya memberitahu banduan dan keluarga mereka kira-kira seminggu sebelum hukuman mati dilaksanakan.
Dalam tempoh berkenaan, banduan dibenarkan untuk menerima pelawat harian, tetapi mereka dipisahkan oleh kaca jendela dan tiada sentuhan fizikal dibenarkan, menurut TJC. Kaunselor rohani juga disediakan.
Dalam sesi bergambar, banduan boleh melakukan pose tertentu atau memakai pakaian yang bermakna kepada ahli keluarga, katanya.
“Jadi, saya rasa gambar-gambar itu juga seperti surat cinta kepada mereka.”
Setiap malam saya menangis
Kumpulan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International, telah lama menyeru Singapura untuk menghapuskan hukuman mati, tetapi kerajaan tetap menegaskan ia adalah pencegahan yang berkesan terhadap jenayah.
Tangaraju Suppiah, warga Singapura berusia 46 tahun, digantung pada April kerana bersubahat menyeludup satu kilogram ganja.
“Setiap malam saya menangis dan setiap malam saya memikirkan tentangnya,” kata kakaknya, Leelavathy Suppiah kepada AFP.
Tangaraju pada mulanya enggan melakukan sesi foto, tetapi dia akhirnya mengalah selepas keluarga memujuknya, katanya.
Leelavathy telah membingkai gambar dia tersenyum, dengan jari telunjuk dan ibu jarinya membuat bentuk hati pose yang dipopularkan oleh bintang-bintang K-pop.
“Saya sangat gembira apabila saya melihat gambar-gambar ini. Sekurang-kurangnya dia ada dalam gambar-gambar itu,” katanya kepada AFP, sambil bercakap dalam Bahasa Inggeris.
“Ini adalah gambar yang disukai oleh ahli keluarga kami kerana dia tersenyum,” tambahnya.
Namun, dia tertanya-tanya apakah yang bermain dalam fikiran adiknya pada hari-hari terakhirnya.
“Mereka tahu bahawa mereka akan mati,” katanya. “Ia sedihkan?”
Kasut putih
Keluarga Kalwant Singh membelikannya sepasang kasut putih, yang dipakainya dengan kemeja-T, seluar sukan dan senyuman lebar dalam satu gambar.
Sonia Tarlochan Kaur, adik perempuan warga Malaysia berusia 31 tahun itu, memberitahu AFP bahawa dia hanya diberi masa kira-kira setengah jam semasa sesi foto untuk memakai kasut itu, lalu berlari di sekitar blok sel untuk memanfaatkannya.
Selepas hukuman mati Kalwant atas kesalahan menyeludup heroin tahun lepas, Sonia berkata dia tidak dapat menahan diri semasa melihat gambar-gambar tersebut.
“Mereka seharusnya beri saya masa setengah jam itu untuk memeluknya dengan erat.” – AFP