Sebagai individu yang sangat mementingkan kesihatan, saya tidak pernah menyangka bahawa saya, seorang yang tidak merokok, mungkin berdepan dengan risiko penyakit jantung.
Keadaan ini amat membimbangkan saya, bukan kerana gaya hidup atau pilihan saya, tetapi disebabkan oleh tabiat orang lain di sekeliling saya.
Setiap hari, saya terpaksa berdepan dengan bau asap rokok dan vape yang dibawa oleh rakan sekerja saya ke dalam pejabat.
Meskipun mereka merokok di luar bangunan, bau itu melekat pada pakaian mereka dan akhirnya tersebar di ruang pejabat.
Saya sedar, ini bukanlah sesuatu yang saya dapat elakkan, walaupun sudah ada peraturan melarang merokok di kawasan bangunan. Malangnya, ada di antara mereka yang berani menyeludup rokok dan vape masuk, terutamanya pada hujung minggu ketika bos tidak berada di pejabat.
Keadaan ini membuatkan saya terasa tersepit. Bukan sahaja kerana saya terdedah kepada risiko kesihatan, tetapi juga kerana saya merasakan suasana kerja yang sepatutnya tenang dan profesional telah tercemar.
Saya sering tertanya-tanya, adakah rakan-rakan saya tidak menyedari kesan tindakan mereka kepada orang lain?
Adakah mereka tidak tahu bahawa asap rokok yang melekat pada pakaian mereka boleh membahayakan kesihatan orang lain?
Lebih membebankan, ada dalam kalangan rakan sekerja yang seolah-olah tidak menghargai keseriusan pekerjaan kami.
Ada yang seronok bermain permainan video di dalam pejabat, walaupun tugasan mereka sudah habis tetapi ia cukup menganggu mereka yang masih ada kerja yang hendak diselesaikan.
Jika mereka bermain permainan video secara senyap-senyap mungkin boleh diterima, tetapi ada ketikanya mereka bermain dengan suara nyaring dan berteriak-teriak.
Bagaimana saya boleh menegur rakan saya tanpa mencetuskan ketegangan di tempat kerja?
Saya berharap rakan-rakan saya terbaca luahan saya dalam ruangan ini kerana sudah pasti apabila ditegur secara terang-terangan mungkin akan menyebabkan perkelahian dan hilangnya keharmonian.
Mereka sudah dewasa dan ada yang berkeluarga namun perangai keanak-anakan masih tebal!
Legend Man
NASIHAT DANG MP
Terima kasih Legend Man kerana berkongsi situasi ini. Suasana tempat kerja dengan asap rokok sememangnya mencabar dan membebankan kepada yang tidak merokok.
Asap rokok dan vape boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, terutama bagi mereka yang tidak merokok seperti awda. Ia juga sangat menyedihkan apabila suasana profesional di pejabat tercemar oleh tindakan rakan sekerja yang tidak peka terhadap kesan pilihan mereka.
Salah satu langkah yang mungkin boleh diambil adalah untuk mengadakan perbincangan secara terbuka dengan rakan-rakan sekerja. Mungkin mereka tidak sedar betapa seriusnya isu ini bagi anda dan orang lain yang tidak merokok.
Jika situasi ini berterusan dan tidak ada perubahan, laporkannya kepada pihak pengurusan atau jabatan sumber manusia. Mereka mungkin boleh menjalankan sesi kesedaran tentang kesan merokok.