Tuesday, March 18, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rakan perniagaan Indonesia sokong Trump

    JAKARTA, 3 Feb – Rakan perniagaan Donald Trump di Indonesia hari ini secara terbuka akan membantu mengukuhkan hubungan antara negara majoriti Islam paling ramai penduduk di dunia dengan Amerika ketika ketegangan semakin meningkat selepas Trump mengeluarkan larangan perjalanan.

    Sekutu tradisional AS tersebut minggu lepas berkata, ia “amat kesal” dengan larangan sementara pendatang dikenakan kepada tujuh buah negara Islam kerana ia boleh merosakkan perang global menentang keganasan.

    Indonesia bukan dalam kalangan negara-negara yang disasarkan oleh perintah eksekutif Trump, yang menyebabkan huru-hara di seluruh dunia sehingga mencetuskan cabaran undang-undang.

    Jutawan Hary Tanoesoedibjo, yang sedang membina dua buah resort mewah Trump Organization di Indonesia menegaskan, hubungan beliau dengan pemimpin AS tersebut memberi tumpuan kepada perniagaan tetapi tidak menolak untuk membantu meningkatkan hubungan.

    “Hubungan saya dengan Trump adalah hubungan perniagaan. Saya mengenali beliau dan mempunyai hubungan dengan dia. Jika perlu saya akan membantu,” Tanoesoedibjo yang menghadiri majlis pelantikan Trump bulan lalu dipetik sebagai berkata oleh laman web Viva News.

    Hary Tanoesoedibjo bercakap kepada wartawan dalam satu temu bual di Jakarta pada 14 Januari lalu. – AP
    Hary Tanoesoedibjo bercakap kepada wartawan dalam satu temu bual di Jakarta pada 14 Januari lalu. – AP

    Ketegangan mengenai larangan eksekutif Trump telah membayangi hubungan dua hala yang sebahagian besarnya amat mesra sejak beberapa tahun lalu.

    Bekas presiden Barack Obama amat popular di Indonesia, di mana beliau menghabiskan sebahagian zaman kanak-kanak.

    Tanoesoedibjo mengusahakan projek Presiden AS di luar Jakarta dan satu daripada resort di pulau peranginan Bali dengan kedua-dua masih pada peringkat awal.

    Ahli perniagaan yang mengetuai MNC Group dan mempunyai kepentingan dalam sektor dari media kepada hartanah, baru-baru ini berkata dia mahu mengikuti jejak Trump dan bertanding jawatan presiden Indonesia pada 2019.

    Walau bagaimanapun, prospek dua pemimpin dunia yang menjadi rakan kongsi perniagaan berkenaan menimbulkan kebimbangan baru tentang konflik kepentingan berkaitan dengan empayar perniagaan Trump. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda