WASHINGTON, 6 DIS – Seorang lelaki rakyat Amerika Syarikat (AS) didakwa kerana cuba menyediakan bahan sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh di Timur Tengah, lapor agensi berita China, Xinhua memetik kenyataan Jabatan Kehakiman AS kelmarin.
Romeo Langhorne, 30, telah ditahan pada 15 November di negeri Virginia. Langhorne dikatakan telah menjadi pengikut Daesh sejak 2014 dan baru-baru ini mengesahkan sokongannya kepada kumpulan itu, menurut jabatan kehakiman.
Langhorne meminta bantuan seorang ejen penyiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang menyamar sebagai sekutu Daesh untuk membuat sebuah video menunjukkan cara membuat bom dan menyuarakan hasrat untuk mengajar orang lain membuat bom serta melancarkan seragan untuk menyokong Daesh.
Sejurus menerima video itu, yang menampilkan cara yang tidak tepat untuk membuat bom, Langhorne memuat naik video tersebut ke Internet.
Langhorne berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, menurut kenyataan itu.
Dalam kes serupa baru-baru ini, pihak penguatkuasaan undang-undang AS telah mendakwa dua lagi lelaki rakyat AS cuba memberikan sokongan kepada Daesh pada November. – Bernama