Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Rakyat berkemahiran tonggak kemakmuran negara

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Antara matlamat Wawasan Brunei 2035 adalah memastikan rakyat berkemahiran, berpendidikan tinggi dan berjaya, mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi dan ekonomi negara yang dinamik serta berdaya tahan menjelang tahun 2035.

    Ke arah merealisasikan hasrat negara untuk memiliki rakyat berkemahiran tinggi dan berpendidikan pada tahun 2035, pelbagai usaha dan inisiatif telah diungkayahkan oleh beberapa pihak di negara ini.

    Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah menerusi pengenalan beberapa program yang dapat mengasah dan menonjolkan potensi para belia negara. Selain mendedahkan mereka kepada kemahiran yang berguna bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan, ia juga mampu meningkatkan produktiviti serta membawa perubahan yang positif dalam organisasi secara keseluruhannya.

    Antara organisasi yang terlibat dalam pembangunan rakyat berkemahiran tinggi ialah Brunei LNG di mana ia telah memperkenalkan program baharu yang dikenali sebagai program EmployAbility, dengan tujuan membantu membangunkan tenaga kerja tempatan yang berdaya tahan.

    Program berkenaan merupakan Program Pelaburan Sosial Kemegahan di bawah tajaan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG), Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib.

    Gambar fail bertarikh 29 September 2022 menunjukkan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China, PYT Yu Hong bergambar ramai pada majlis penandatanganan biasiswa di Hotel Radisson.
    Gambar fail bertarikh 6 Februari 2022 menunjukkan Dayang Siti Rozaimeryanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman semasa melancarkan Brunei LNG Pilot Apprenticeship Programme di bawah Social Investment Flagship yang dikenali sebagai EmployAbility.
    Gambar fail bertarikh 24 November 2022 menunjukkan Bank Baiduri bersama-sama Darussalam Enterprise (DARe) mengadakan Bengkel Pemerkasaan PMKS Tempatan.
    Gambar fail bertarikh 11 Januari lalu menunjukkan antara perantis semasa menyertai GrADS yang berlangsung di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam.
    Gambar fail bertarikh 23 November 2022 menunjukkan para pelajar dan pengunjung berpeluang untuk bertemu serta berinteraksi dengan wakil universiti dan kolej untuk mendapatkan penerangan lanjut mengenai pengajian pada Pameran Pendidikan Antarabangsa Findlay.

    Brunei LNG adalah antara syarikat pertama dari ASEAN yang menyokong Harnessing Impact with Resilient Employability Digitally (HIRED) yang dilancarkan pada tahun 2021 bermatlamat untuk menangani isu-isu pengangguran dan memastikan negara tidak ketinggalan dalam kemahiran upskilling dan reskilling.

    Ini kerana timbulnya keperluan segera untuk rakyat terutamanya belia-belia bagi meningkatkan dan mempelajari kemahiran baharu kerana kajian telah menunjukkan bahawa 59 peratus belia di ASEAN kekurangan kemahiran industri.

    Ia jelasnya satu lagi langkah penting dalam usaha bersama untuk mengukuhkan pekerjaan dan keupayaan warga tempatan, pada masa yang sama membantu merealisasikan Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

    EmployAbility akan membangunkan tenaga kerja tempatan yang berdaya tahan untuk menggantikan pekerja asing, mengurangkan pengangguran dan meningkatkan kemahiran pekerja menerusi latihan dan tunjuk ajar. Ia termasuk golongan lepasan sekolah atau graduan yang akan menyertai tenaga kerja serta mereka yang sudah bekerja tetapi mahu mempelajari dan meningkatkan kemahiran baharu.

    Pada masa yang sama, Employ-Ability diperkenalkan sebagai inisiatif untuk meningkatkan pekerjaan serta memupuk keupayaan, kemahiran dan kecekapan tenaga kerja tempatan melalui pembangunan keupayaan di mana Brunei LNG akan bekerjasama dengan HIRED, MPEC, MISC, JobCentre Brunei dan pihak berkepentingan lain untuk membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkebolehan dan berkemahiran tinggi.

    Di samping program berkenaan, Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) pada bulan lalu turut melancarkan Skim Perantisan Pembangunan Graduan (GrADS) dalam usaha untuk melahirkan graduan yang bersiap siaga dalam industri kewangan sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat di bawah Program Pengayaan BILIF.

    Program pengayaan itu bermatlamat mengembangkan ilmu pengetahuan dan kemahiran para pencari kerja serta graduan dengan menyediakan program-program latihan yang menyeluruh selaras dengan keperluan industri kewangan masa kini.

    Skim GrADS dihasratkan dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran para pencari kerja dan graduan terutamanya dalam industri kewangan.

    Perantis skim berkenaan menjalani program-program kepakaran insaniah dan teknikal selama dua bulan yang antara lain termasuk Latihan Mindset Perkembangan, Komunikasi Komprehensif dan Bengkel Microsoft Excel.

    Di samping itu, beberapa perantis juga akan menjalani latihan penempatan kerja selama enam bulan di badan-badan berkanun dan institusi-institusi kewangan termasuk Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Kumpulan Bank Baiduri, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd.

    Penempatan itu sudah semestinya akan memberikan mereka peluang untuk mengguna pakai segala kemahiran dan ilmu pengetahuan yang telah ditimba selain mempersiapkan diri semasa menempuhi pasaran kerja.

    Sementara itu, Pelancaran inisiatif SkillsPlus di bawah program Learn and Grow di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kementerian Pendidikan merupakan salah satu lagi contoh hasil daripada inisiatif dan usaha sama antara kementerian, sektor awam dan sektor swasta dalam membantu membangunkan rakyat berkemahiran tinggi.

    Inisiatif itu menyediakan bantuan pembiayaan kepada pencari kerja tempatan dan pekerja tempatan di sektor swasta bagi meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula.

    Ia juga menawarkan bantuan pembiayaan kepada mereka untuk meneruskan pembelajaran dan latihan di mana ia berjaya membantu ramai individu meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula demi memenuhi keperluan industri dan sektor perkhidmatan ekonomi.

    Tahun lalu turut menyaksikan lebih 100 belia di negara ini dianugerahkan biasiswa Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi Industries) di bawah program biasiswa bersama Universiti Brunei Darussalam (UBD) – Universiti Zhejiang (ZJU) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) – Universiti Teknologi Vokasional Petrokimia Lanzhou (LPUVT).

    Setakat ini, ratusan pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka telah ditawarkan peluang pekerjaan di Hengyi Industries sebagai jurutera dan pengendali Hengyi Industries.

    Program-program seumpama ini merupakan sebahagian daripada program yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pelbagai pihak sama ada sektor kerajaan mahupun sektor swasta dalam sama-sama mencapai matlamat wawasan 2035.

    Oleh itu, diharapkan usaha seumpama ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi pada masa-masa akan datang. Pendekatan seluruh negara (whole nation approach) adalah amat penting bagi merealisasikan Wawasan Negara 2035 kerana ia menggambarkan  komitmen dan kerjasama padu semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam mengangkat nama Negara Brunei Darussalam dan rakyatnya ke suatu tahap yang lebih tinggi dan disegani setaraf dengan negara maju yang lain.

     

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...